MAHKAMAH Persekutuan hari ini membenarkan usul bagi mencabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah.
Mahkamah membenarkan permohonan dikemukakan seorang lelaki berusia 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.
Lelaki berkenaan didakwa melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain pada November 2018.
Malaysiakini melaporkan panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.
Tengku Maimun dipetik berkata Seksyen 28 belum secara sah digubal oleh badan perundangan negeri Selangor, dan undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen berkenaan hanya boleh digubal melalui Parlimen.
Mahkamah Persekutuan pada 25 Mei tahun lalu membenarkan permohonan lelaki tersebut untuk mencabar Sekyen 28.
Pada 14 Disember lalu, peguamnya berhujah bahawa badan perundangan Selangor tiada kuasa untuk menggubal peruntukan bagi kes seks luar tabii kerana ia terletak di bawah Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, hanya Parlimen yang mempunyai kuasa eksekutif untuk menggubal undang-undang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, kata peguam.
Mengikut Seksyen 28, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau tidak lebih enam sebatan, atau dengan mana-mana kombinasi hukuman.
Kesalahan sama mengikut Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan pula boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. – 25 Februari, 2021.
Komen