Wabak tutup mulut sasterawan


Naim Al-Kalantani

KETIKA lenggokan jemari saya ingin menulis perihal ini, saya berasa tersanggat dek saya dikelilingi oleh ramai sasterawan dan seniman yang saya kenali bukan sahaja rakan-rakan, bahkan guru sasterawan yang bukan sembarangan hebatnya.

Kemungkinan tenor dan konotasi yang saya akan tuliskan di bawah ini akan menyinggung beberapa pihak di sekitar saya.

Kebelakangan ini di era pandemik Covid-19, negara kita dilanda satu lagi wabak yang parah. Wabak ini menyerang sasterawan kita dan mengunci mulut mereka.

Gus Dur dalam bukunya Tuhan Tidak Perlu Dibela menulis satu lelucon yang mempersoalkan kenapa orang Indonesia jika ingin memeriksa gigi, perlu ke Singapura? Jawapannya kerana di Indonesia mereka tidak dapat membuka mulut.

Sejak pertukaran kerajaan di Malaysia dengan cara “menebuk atap Putrajaya” tempoh hari, saya melihat secara rambang bagaimana sasterawan kita menanggapi pelaksanaan polisi ataupun perkara yang dilaksanakan oleh pihak pemerintah. Hanya sedikit dari mereka yang giat melawan dengan cara menulis di pelbagai medium.

Saya kira kita semua pernah mendengar slogan popular “seni untuk masyarakat” yang masih bergema sehingga sekarang. Tetapi tidak ramai di kalangan sasterawan sendiri yang mengikut jalur ini dan masih berjimak dengan slogan “seni untuk seni”.

Kebanyakan sasterawan yang mapan datang dari keunggulan idea dan fahaman yang pintar. Mereka ini bukannya angon yang datang entah dari sawah padi bersama kerbau dan tiba-tiba menjadi seorang sarjana sastera yang disegani.

Mereka, sasterawan, sepatutnya bertindak seperti seorang intelektual. Intelektual dan sasterawan mempunyai fungsi asas yang sama – kedua-duanya bertujuan mencerdikkan masyarakat.

Jenaka Gus Dur di atas tadi sebenarnya menempelak sasterawan yang diam tidak berkutik ini.

Kerajaan hari ini tidak jelas sekali tidak menggalas tugas mereka yang baik. Ahli Kabinet dan timbalan yang mencecah 70 anggota, tetapi tidak berguna dan tidak dapat menyelesaikan isu asas yakni kawalan yang diperlukan era pandemik Covid-19 ini.

Bagaimana seorang menteri dapat mengeluarkan satu arahan dan mengubahnya dalam masa yang singkat, mengakibatkan negara huru-hara dan bedilan demi bedilan sumpah seranah dilontarkan kepada kerajaan dan menteri.

Dalam hal kerajaan dan politik inilah sasterawan perlu masuk campur jika mereka ini berkiblatkan kepada “seni untuk masyarakat”.

Mata pena para sasterawan amat tajam dan inilah masa untuk mereka (baca: kita) berada dalam ranah politik untuk menegur pimpinan korup dan tidak menjalankan tugas dengan saksama ini.

Mata pena atau ketukan papan kekunci sasterawan lazimnya sangat indah, tetapi dalam masa yang sama ia boleh menyengat.

Selain kita berpusu-pusu menghantar karya untuk memenangi sayembara dan berforum wacana teori sastera, idea-idea penulisan memerlukan keberpihakan kepada masyarakat massa yang tertindas di samping menegur pimpinan korup yang berada di dalam kubikel dewan rakyat.

Saya memahami jika sasterawan ini merasa diri mereka terkunci dek “arahan” pemerintah. Tetapi ada juga sasterawan yang mengkritik, mencabar, dan menyindir dengan keras tindakan-tindakan pemimpin yang tidak selari dengan kemanusiaan.

Sebagai sasterawan dan seorang yang bijak, kita mestilah bersikap adil dan menunjukkan rasa berpihak kepada golongan yang tertindas. Penulisan mengenai kaum yang tertindas ini bukan saja menggambarkan penindasan, tetapi ia memerlukan sasterawan ini menyebut siapa yang menindas dan siapa yang ditindas.

Dalam karya sastera pun, kita tidak pernah melihat satu karya menjadi hebat apabila temanya mengangkat pemimpin yang bobrok. Semua karya agung sastera membicarakan seputar isu rakyat, rasuah, kemiskinan, masyarakat tertindas dan yang sealiran dengannya.

Tema ini bukanlah untuk diromantiskan, tetapi tema ini menjadi tema besar masyarakat dan ia sepatutnya dibicarakan dengan meluas, dan ia perlu dibawa ke alam realiti untuk menegur pemimpin di atas sana.

Masalah utama kita sekarang ialah pimpinan politik tidak membaca karya sastera. Kita menulis dengan bersungguh-sungguh tema tertentu untuk menempelak mereka di kerusi Parlimen, tetapi mereka tidak membaca karya sastera dan mengambil iktibar darinya. Tetapi kita punyai medium lain.

Suara sasterawan ini bukannya kecil anak. Mereka senang untuk menembusi mana-mana akhbar perdana kerana itulah bidang mereka – penulisan. Pun tidak dapat menembusi media arus perdana, gunakan media sosial atau portal dalam talian untuk menunjukkan kita wujud dan berjuang bersama rakyat.

Percayalah, suara mereka ini didengari oleh masyarakat.

Kita pernah punyai Tongkat Warrant yang suaranya berdentum-dentum bergelojak seluruh negara. Kita punyai Pramoedya Ananta Toer di negara seberang sehingga dapat membelek perlawanannya di negara ini. Kita punyai keramat ‘hanya satu kata: lawan!’ dari Widji Thukul, menjadi azimat anak muda berjuang di jalanan.

Semangat inilah yang kita perlu terap dalam diri sebagai seorang sasterawan yang menginginkan negara menjadi lebih baik.

Dalam tempoh yang sangat rencam ini, isu politik dihamparkan kepada sasterawan di halaman rumah masing-masing, menunggu untuk dicedok dan dioleskan dalam karya kreatif saja.

Masalah sekarang, ada sasterawan yang hanya menatal telefon dari dalam rumah dan tidak mahu membuka pintu dan menangguk isu tersebut untuk ditulis buat tatapan masyarakat.

Wabak “tidak bersuara” dalam kalangan sasterawan semestinya perlu diakhiri. Negara kita kian tenat. Ahli politik tidak memainkan peranannya dengan baik. Third force bukan saja digembleng oleh rakyat marhaen, tetapi sasterawan perlu memandu mereka dengan memberi tekanan yang dapat menegur tindakan kurang cerdik para pemimpin.

Jika ada dalam kalangan sasterawan yang membaca tulisan ini dan kemudiannya tersentak, saya kira objektif saya tercapai.

Kadang-kadang pesanan dan pengajaran tidak datang bergolek dalam novel puitis, boleh juga dari tulisan yang begini. – 19 Januari, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen