Hentikan ‘drama’, ambil tindakan tanah RM1 bilion Felda lesap, kata PKR 


Amin Iskandar

Putrajaya perlu bertindak segera kepada mereka yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan Felda kehilangan tanah bernilai RM1 bilion di Kuala Lumpur, skandal demi skandal membuktikan Felda hanya mampu selamat tanpa campur tangan Umno, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.

PUTRAJAYA digesa menghentikan “drama pendedahan bersiri” dan mengambil tindakan segera kepada mereka yang terlibat menyebabkan tanah Felda di Kuala Lumpur bernilai RM1 bilion “lesap”, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Menurut ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Perdana Menteri Najib Razak wajib mengambil langkah tuntas dalam mendedahkan tahap ketenatan skandal Felda di bawah kepimpinan beliau. 

“Bukannya melakukan pendedahan bersiri demi melindungi kerosakan parah institusi Bumiputera tersebut di tangan Umno.

“Najib juga wajib memastikan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala kepincangan yang bobrok, lalu mengakibatkan hutang (liabiliti) terkumpul kumpulan Felda sebanyak RM 12.26 billion pada penghujung tahun 2016 dihadapkan serta merta ke muka pengadilan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Akhbar pro kerajaan, Berita Harian pada Khamis mendedahkan sebidang tanah strategik milik Felda di Jalan Semarak di Kuala Lumpur dipercayai bertukar hak milik selepas satu transaksi diragui pada 2015.

Menurut laporan itu, Felda mungkin berisiko kehilangan hak ke atas tanah yang pada mulanya dianggarkan bernilai lebih RM200 juta itu.

Transaksi pindah milik meragukan itu melibatkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda yang kini dimajukan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), lapor akhbar itu.

Semakan dilakukan akhbar itu di portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati menara ikonik Felda itu sudah diluluskan untuk dimajukan.

Akan tetapi, hari ini Berita Harian melaporkan nilai semasa tanah itu bernilai RM1 bilion.

Pengiraan itu berdasarkan data jualan hartanah yang mendapati anggaran nilai tanah di kawasan Jalan Gurney, Jalan Maktab dan Jalan Semarak antara RM1,300 hingga RM1,600 sekaki persegi.

Malah, sumber rapat dengan projek KLVC itu mengatakan harga tanah kawasan itu boleh mencecah sehingga RM1,950 sekaki persegi. Beberapa syarikat asing termasuk dari China juga dilaporkan berminat memiliki tanah itu walaupun KLVC mahu membangunkannya sendiri.

Menurut Nurul Izzah lagi, ketiadaan pembayaran yang nyata dalam transaksi penjualan tanah itu menampakkan tiada langsung sebarang hasil atau faedah yang diraih Felda. 

“Adakah ia hanya menguntungkan pihak Synergy Promenade Sdn Bhd yang dinamakan sebagai penjual dan pembeli, serta individu tertentu? 

Polis sudah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat skandal terbaru yang melanda Felda ini dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Pengerusi Felda, Isa Samad untuk memberi keterangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.

“Bagaimana pula dengan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang hanya dipanggil untuk soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

“Sedangkan beberapa kes rasuah dan salah laku berlaku di bawah pimpinan Isa. Cukupkah sekadar soal siasat dan tiada dapatan siasatan untuk capaian umum?” soalnya.

Nurul Izzah berkata, terbukti segala yang diperjuangkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), dan Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama adalah demi masa depan Felda sendiri.

“Felda kelihatan hanya mampu selamat tanpa campur tangan Umno.

“Felda sebagai agensi yang meningkatkan daya saing masyarakat Bumiputera perlu dibersihkan kembali secara menyeluruh. 

“Rakyat tidak punya ruang dan waktu yang banyak untuk dijebakkan dalam drama rompakan bersiri Umno,” katanya. 

Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad mengakui tentang “kehilangan” tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu dan sudah membuat laporan polis mengenainya.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata mereka sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. 

Katanya, pasukan itu ditubuhkan sehari selepas laporan polis dibuat oleh Felda pada 12 Disember lalu dan siasatan dijalankan menurut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu berhubung penipuan dan pemalsuan dokumen.

Beliau tidak menolak untuk memanggil Isa yang merupakan bekas pengerusi Felda untuk disiasat. – 23 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tidak perlulah mendesak pihak yang bertanggungjawab utk mengambil tindakan terhadap penyelewengan yang berlaku dalam FELDA. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menanganinya. Jangan sampai Nurul Izzah pula yang disaman fitnah selepas ini. Lagi pun pihak polis telah pun menubuhkan pasukan khas untuk memulakan siasatan keatasnya.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan