Tanah Felda lebih RM200 juta di KL terlibat 'transaksi diragui'


Felda mungkin berisiko kehilangan hak ke atas tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September 2017.

SEBIDANG tanah strategik milik Felda dipercayai bertukar hak milik selepas satu transaksi diragui pada 2015.

Akhbar Berita Harian melaporkan, Felda mungkin berisiko kehilangan hak ke atas tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta itu.

Transaksi pindah milik meragukan itu melibatkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda yang kini dimajukan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), lapor akhbar itu.

Semakan dilakukan akhbar itu di portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati menara ikonik Felda itu sudah diluluskan untuk dimajukan.

Pelan pembangunan itu termasuk bangunan pejabat 68 tingkat yang meliputi 59 tingkat pejabat, kawasan parkir, taman atas bumbung dan helipad.

Laporan Berita Harian yang memetik sumber menyebut, syarikat milik Felda, Felda Investment Corporation (FIC) telah melantik sebuah syarikat pada 3 Jun 2014 dan memberikan  surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Keputusan untuk melantik syarikat terbabit dibuat FIC. Bagaimanapun, Lembaga Pengarah Felda hanya dimaklumkan tiga bulan kemudian iaitu pada 2 September untuk kelulusan secara retrospektif, dakwa sumber tersebut.

Felda mungkin berisiko kehilangan hak ke atas tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta itu. – Gambar AFP, 4 Mei, 2017.

“Ia agak mengelirukan dari segi urus tadbir kerana Lembaga Pengarah Felda tak tahu siapa sebenarnya buat keputusan, sama ada FIC atau Felda kerana ketika itu ada orang sama duduk dalam FIC dan dalam Felda.

“Felda keluarkan surat kuasa wakil kepada syarikat pemaju untuk bangunkan kawasan terbabit, namun tanah berkenaan kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015,” kata sumber tersebut, dikutip Berita Harian.

Setakat ini, tiada pengumuman Felda berhubung isu pindah milik tanah yang kini dimajukan sebagai Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Selain itu, satu daripada lot tanah yang menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda turut ditukar nama kepada syarikat lain yang didakwa ada kaitan dengan pemaju utama projek pada 21 Julai 2016, lapor akhbar itu lagi.

Berita harian menyebut, maklumat itu diperolehi selepas membuat semakan di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Isa Samad dibawa ke mahkamah, Ogos lalu susulan siasatan ke atas dakwaan rasuah melibatkan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2017.

Felda dipengerusikan bekas menteri Umno, Isa Samad sejak 2011 hingga awal Januari 2017, yang turut menjadi pengerusi bukan eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) pada 2013 sehingga 2017.

Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures (FGV) pada Jun lalu sebelum dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang mencetuskan bantahan ramai.

Felda terpalit dengan beberapa skandal tahun ini termasuklah konflik kepimpinan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Zakaria Arshad dan skandal korupsi, antaranya melibatkan pembelian hotel di London dan Kuching. – 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen