Polis tubuh pasukan khas siasat Felda hilang tanah


Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata pasukan itu ditubuhkan sehari selepas laporan polis dibuat oleh Felda pada 12 Disember lalu dan siasatan dijalankan menurut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu berhubung penipuan dan pemalsuan dokumen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.

POLIS telah menubuhkan satu pasukan khas  untuk menyiasat  kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. 

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata pasukan itu ditubuhkan sehari selepas laporan polis dibuat oleh Felda pada 12 Disember lalu dan siasatan dijalankan menurut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu berhubung penipuan dan pemalsuan dokumen.

“Selepas laporan diterima, kami membuka satu kertas siasatan serta menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Polis Diraja Pulau Pinang  malam tadi.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Pengerusi Felda  Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan

“Saya difahamkan beliau tiada di dalam negara ketika ini. Jadi, bila (beliau) dah balik polis akan ambil keterangan daripadanya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan memanggil beberapa pihak lain untuk diambil keterangan.

“Selepas  selesai rakam percakapan, kita akan lihat mana arah tuju kes tersebut,” katanya.

Semalam, Felda dilaporkan  berisiko kehilangan hak ke atas kawasan strategik yang dianggar bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di Kuala Lumpur susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Pengerusi Felda  Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda  bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah agensi itu termasuk membuat laporan polis pada 12 Disember lalu. – Bernama, 23 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Semoga siasatan berjalan dengan lancar dan telus. Diharap semua pihak dapat bekerjasama supaya siasatan dapat diselesaikan dengan segera.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan