DEWAN Rakyat akan mengundi Belanjawan 2021 awal petang ini, selepas persidangannya dipersetujui dilanjutkan sehingga urusan tersebut selesai hari ini.
Usul melanjutkan tempoh persidangan dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyudin Hassan sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri bermula pagi ini.
“Di bawah Peraturan 12(1), saya mohon mencadangkan mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai semua kementerian menjawab perbahasan di peringkat dasar RUU Perbekalan 2021 dan diputuskan bacaan yang kedua dan usul mengenai anggaran pembangunan,” kata Takiyuddin.
Lanjutan tempoh persidangan itu memberi ruang kepada semua sembilan kementerian menggulung perbahasan sebelum Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 diundi secara belah bahagi.
Sembilan kementerian yang akan menggulung hari ini ialah Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga akan menggulung sebelum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menggulung bagi Kementerian Kewangan.
Belanjawan 2021 yang diluluskan hari ini akan membolehkan kerajaan menggunakan dana RM322.5 bilion bagi tujuan perbelanjaan negara untuk tahun depan. Ini termasuk RM17 bilion yang diperuntukkan di bawah Tabung Covid-19.
Ini adalah cadangan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih Putrajaya pada Mac lalu.
Isu-isu belanjawan
Pengundian hari ini bagaimanapun bergantung sejauh mana Putrajaya menangani beberapa kontroversi yang dibangkitkan sepanjang perbahasan bermula sejak 9 November.
Umno dan Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP daripada Akaun 1 sebanyak RM10,000 untuk semua orang, serta moratorium bayaran balik pinjaman bank secara automatik sehingga Jun tahun depan.
Pengerusi Kelab Penyokong BN Najib Razak sebelum ini berkata sokongan pihaknya tertakluk pada dua syarat tersebut.
Pihak pembangkang pula membangkitkan isu peruntukan yang dianggap tidak perlu misalnya RM85.5 juta untuk menubuhkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan RM8.6 juta untuk aktivis kerajaan di negeri pembangkang yang dikenali sebagai Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT)
Semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata peruntukan RM85.5 juta itu boleh dikurangkan.
Beliau juga menegaskan Jasa yang dijenamakan semula tidak akan dijadikan sebagai alat propaganda kerajaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pula menjelaskan PeKT tiada kaitan dengan badan masyarakat Penggerak Komuniti Negara, yang terdiri daripada bekas ahli PKR yang dikaitkan dengan beliau.
BN sokong bersyarat
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dipetik berkata ahli Parlimen BN termasuk dari Umno, majoritinya, akan menyokong Belanjawan 2021.
Sokongan itu katanya tidak berubah seperti pendirian yang diumumkan sebelum ini.
Malam tadi, ahli Parlimen penyokong PN juga mengeluarkan satu kenyataan akan menyokong Belanjawan 2021.
Kenyataan itu menyebut semua ahli Parlimen daripada BN, Bersatu, PAS, Star, Gabungan Parti Sarawak dan wakil rakyat Bebas yang menyokong PN, sebulat suara akan menyokong belanjawan.
Ahli Parlimen BN Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini menyeru ahli Parlimen supaya mengundi mengikut naluri dan bukannya mengikut kehendak parti.
Katanya, parti tidak berhak menentukan corak pengundian kerana wakil rakyat dipilih oleh pengundi di kawasan mereka.
Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dua kosong susulan kematian wakil Batu Sapi dan Gerik, masing-masing penyokong pembangkang dan kerajaan.
Muhyiddin mempunyai sokongan 112 ahli Parlimen sementara pembangkang 108, termasuk ahli Parlimen bebas.
Ahli Parlimen Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) dijangka tidak hadir kerana perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas hadir ke sidang DUN Sabah pada 16 November lalu. – 26 November, 2020.
Komen