Majlis Backbenchers Perikatan sepakat sokong Belanjawan 2021


Belanjawan 2021 kerajaan Muhyiddin Yassin akan melalui proses pengundian esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

MAJLIS Backbenchers Perikatan Nasional (PNBBC) mengisytiharkan sokongan mereka kepada Belanjawan 2021 yang akan melalui proses pengundian di Dewan Rakyat esok.

Kenyataan PNBBC malam ini menyebut yang semua ahli Parlimen daripada Barisan Nasional, Bersatu, PAS, Star, Gabungan Parti Sarawak dan wakil rakyat Bebas yang menyokong PN, sebulat suara akan menyokong belanjawan.

“Keputusan yang dibuat ini adalah merupakan keputusan secara kolektif kesemua ahli Parlimen Perikatan Nasional yang berjiwa besar dengan mengenepikan segala perbezaan demi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi.

“Keutamaan kita sekarang adalah menghadapi krisis pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat,” kata PNBBC.

Majlis turut menyatakan komitmen, sokongan dan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin buat masa sekarang mempunyai sokongan 112 ahli Parlimen, manakala pembangkang pula mempunyai sokongan 108 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Dua kerusi lagi kosong kerana kematian ahli Parlimen Batu Sapi dan Gerik, baru-baru ini.

Kenyataan PNBBC menjelang pengundian esok bagaimanapun, tidak menyebut sebarang syarat, tidak seperti kenyataan awal dikeluarkan Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 4 November lepas.

Ahli Parlimen BN termasuk menteri dan kabinet mengadakan pertemuan pada 3 November untuk membincangkan pendirian mereka berkaitan belanjawan dan menawarkan dua syarat untuk menyokongnya.

Pertama adalah pelanjutan moratorium pinjaman bank untuk kumpulan B40 dan M40, dan yang kedua, pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP.

Tuntutan ini sekali lagi ditekankan oleh Pengerusi Kelab Backbenchers BN Najib Razak ketika perbahasan di Dewan Rakyat.

Awal hari ini pula, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan tidak akan menyokong belanjawan esok, berkata ia dibuat untuk kepentingan politik PN dan bukannya kebajikan rakyat. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen