Tolak Belanjawan 2021 supaya Muhyiddin undur, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad menyeru supaya Belanjawan 2021 ditolak untuk membolehkan Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan kerajaan baharu dibentuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

AHLI Parlimen Pejuang tetap tidak akan menyokong Belanjawan 2021 yang akan diundi secara belah bahagi esok, kata pengasas parti itu Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, tindakan itu diambil kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) waktu ini tiada keabsahan undang-undang untuk terus mentadbir kerana tidak menguasai majoriti.

“Ia akan buktikan bahawa kerajaan telah hilang keabsahan kerana ia tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk melulus belanjawan,” katanya.

Pejuang yang masih belum diluluskan pendaftarannya kini mempunyai empat orang ahli Parlimen di blok Bebas termasuk Dr Mahathir.

Tiga lagi adalah anaknya Mukhriz, Amiruddin Hamzah dan Shahruddin Md Salleh.

Bekas perdana menteri ketujuh itu berkata, undi menolak Belanjawan 2021 itu seterusnya akan menyebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai tanda bermaruah.

“Apabila ini berlaku, jika perdana menteri seorang yang bermaruah ia akan meletak jawatan,” katanya.

Kemudian, memandangkan pilihan raya tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19, seorang perdana menteri baharu yang mendapat majoriti boleh dilantik, katanya.

Tambahnya, perdana menteri tersebut kemudian akan dapat menubuhkan kerajaan baharu yang boleh membentangkan belanjawan baharu untuk 2021.

Dr Mahathir juga kecewa kerana melihat kerajaan tidak bersedia mendengar pandangan dan kritikan ke atas Belanjawan 2021 sejak dibentangkan pada 6 November.

Malah kerajaan masih mengugut bahawa elaun dan pencen penjawat awam terutama petugas barisan hadapan tidak akan dapat dibayar jika ia tidak diluluskan.

Walhal, beliau sudahpun menjelaskan bahawa bayaran berkenaan tidak akan terhalang jika belanjawan tidak diluluskan, seperti yang berlaku pada 1999.

Malah kerajaan juga tidak menjelaskan bahawa bayaran untuk perbelanjaan untuk penjawat awam dan petugas baris depan sudah diperuntukkan sehingga akhir bulan Januari tahun 2021.

Oleh itu, beliau melihat kerajaan hanya mahu memastikan belanjawan diluluskan untuk kelangsungan politik, katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan hari ini dilaporkan berkata undian untuk meluluskan Belanjawan 2021 akan tetap berlangsung esok.

Beliau menafikan dakwaan bahawa undian tersebut akan ditunda ke minggu depan. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen