PARLIMEN Malaysia sudah tercemar apabila Najib Razak, yang disabitkan tuduhan jenayah tetapi belum menjalani hukuman penjara, dibenarkan berbahas dan menasihati kerajaan mengenai belanjawan negara, kata Dr Mahathir Mohamad.
Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan berucap di Dewan Rakyat pada Selasa membahaskan Belanjawan 2021.
Beliau juga menjadi jurucakap utama ahli Parlimen Barisan Nasional selepas baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).
Menurut Dr Mahathir, apa yang berlaku itu salah daripada segi moral, biarpun mungkin dibenarkan dari segi undang-undang kerana Najib sedang menunggu rayuan.
“Di mana-mana juga dalam dunia ini kita tidak dapat seorang banduan yang dihukum dan dikenakan hukuman penjara, datang ke Dewan (Parlimen) dan menasihat kerajaan. Ini luar biasa.
“Cuma Malaysia saja yang boleh berbangga bahawa banduan pun nasihat kerajaan. Ini menunjukkan kerajaan ini tidak cekap sehingga banduan pun boleh tegur.
“Inilah yang menjadikan Dewan kita tercemar kerana perbuatan ini,” katanya, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, pada Rabu.
Semalam, semasa gilirannya berbahas, Dr Mahathir meluahkan kehairanannya bagaimana ada “banduan” boleh berucap di Dewan Rakyat tetapi perbicaraan di mahkamah dihentikan, untuk membendung penularan Covid-19.
Mahkamah Tinggi pada 28 Julai mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan jenayah bersabit dana RM42 juta dari bekas anak syarikat 1MDB, SCR International Sdn Bhd.
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu tuduhan salah guna kuasa.
Beliau juga dihukum penjara 10 tahun atas tiga kesalahan pecah amanah dan 10 tahun lagi untuk tiga tuduhan pengubahan wang haram.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, yang bagaimanapun ditangguhkan sementara rayuan Najib didengar.
Rayuannya ditetapkan selama 15 hari bermula 15 Februari, 2021.

Menurut Dr Mahathir, walaupun Najib sudah bersalah tetapi beliau begitu bebas sehingga nampak seolah-olah tidak bersalah.
“Kalau didapati bersalah seseorang itu perlu menjalani hukuman. Boleh buat rayuan tetapi sehingga rayuan itu diputuskan, seseorang itu bersalah.
“Kalau tidak, apa maknanya mahkamah yang rendah memutuskan (sabitan dan hukuman) begitu,” tambahnya.
Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen pembangkang menunjukkan bantahan mereka apabila Najib bangun untuk berucap.
Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya-Pakatan Harapan) bertindak keluar dari Dewan Rakyat sementara Muhkriz Mahathir (Jerlun-Bebas) menyuarakan bantahannya di Twitter.
Mereka senada mempersoalkan keizinan kepada Najib – yang disabitkan jenayah salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah – untuk membahaskan pelan perbelanjaan negara di Dewan Rakyat.
Veteran DAP Lim Kit Siang pula berkata Najib langsung menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kesan skandal 1Malaysia Development Berhad kepada ekonomi negara yang terpaksa menanggung beban hutang daripada jenayahnya.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Dr Mahathir juga membangkitkan perkara yang sama.
“Datuk Seri Najib seorang banduan. Tidak pernah dalam sejarah negara kita seorang banduan menasihat kerajaan bagaimana hendak memerintah negara.
“Dia pula bukan ada latar belakang yang baik,” katanya, dan menyebut skandal kewangan semasa Najib jadi perdana menteri.
“Semasa pemerintahan Datuk Seri Najiblah yang negara ini dirosak sehingga menyeluruh… hutang yang besar, pentadbiran yang terlibat dengan rasuah dan sebagainya,” tambahnya.
Menurut Dr Mahathir, kerajaan Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya menerima nasihat daripada Najib, yang mempunyai rekod buruk menguruskan hal ehwal kewangan negara.
“Kalau kita terima nasihat orang ini, hasilnya kita tahulah apa yang berlaku,” katanya. – 13 November, 2020.
Komen