Najib ketua kelab penyokong kerajaan BN di Parlimen


Kamles Kumar

Sebagai ketua BNBBC Najib berperanan menentukan hala tuju perbahasan dengan mengatur pembahas dan perkara yang akan mereka bangkitkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

NAJIB Razak dilantik pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) menjelang sidang penting Dewan Rakyat bermula esok.

Sumber BN memberitahu The Malaysian Insight pelantikan bekas perdana menteri memberikannya kedudukan dan peranan utama apabila Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 November.

“Najib dilantik baru-baru ini menjelang sidang Parlimen supaya beliau boleh mengendalikan wakil rakyat BN di dewan,” kata sumber.

BN mempunyai 43 ahli Parlimen tetapi 20 daripadanya memegang jawatan dalam kerajaan. Baki 23 wakil rakyat BN akan menentukan perbahasan Belanjawan 2021, yang akan mengangkat suara dan tuntutan Umno.

Sebagai ketua BNBBC Najib berperanan menentukan hala tuju perbahasan dengan mengatur pembahas dan perkara yang akan mereka bangkitkan, serta susunan pembahas.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pekan dijangka akan memainkan peranan utama kerana perbicaraan kes jenayah yang dihadapinya ditunda ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berjalan di Kuala Lumpur sehingga sekurang-kurangnya 9 November .

Beliau sedang dibicarakan atas empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 tuduhan pengubahan wang haram. 

Najib sebelum ini didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International Sdn Bhd. Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM210 juta, dan kini menunggu rayuan sabitan dan hukuman ke atasnya.

Sumber menarik perhatian bahawa pelantikan Najib dibuat ketika hubungan Umno dan Bersatu sedang diuji. Katanya, Najib akan memainkan peranan untuk menyelesaikan pertikaian antara dua parti.

“Beliau berpengalaman, boleh pengaruhi ahli Parlimen,” katanya.

Najib melepaskan semua jawatan dalam BN dan Umno selepas parti kalah Pilihan Raya Umum 2018. Pada Julai tahun lalu, beliau dilantik sebagai penasihat BN.

BN kini dibentuk oleh Umno, MCA, MIC dan PBRS selepas parti-parti lain terutama dari Sabah dan Sarawak meninggalkan gabungan selepas PRU14.

Daripada 43 kerusi di Dewan Rakyat, Umno menduduki 39 kerusi sementara MCA 2 dan MIC dan PBRS masing-masing satu. BN bersekutu dengan Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan baharu selepas percaturan politik yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada hujung Februari lalu.

Perikatan juga mempunyai kelab penyokongnya sendiri di Dewan Rakyat, yang diketuai Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, juga dari Umno dan BN. Beliau dibantu Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dari PAS.

Sementara itu, untuk urusan di Dewan Rakyat, BN juga mempunyai ketua whip iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno. Ketua whip bagi Perikatan ialah Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali.

Ketua whip menentukan pendirian wakil rakyat parti dalam penentuan usul atau rang undang-undang.

BN setakat ini kekal sebagai gabungan yang terasing daripada Perikatan, yang membentuk gabungannya sendiri bersama PAS dan dua parti dari Sabah iaitu Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Pada akhir Julai, Ahmad Zahid mengumumkan Umno tidak akan menyertai Perikatan. Sekutunya MIC yang pada mulanya menjadi penaja pendaftaran Perikatan kemudian menarik diri dengan alasan Umno dan BN tidak menyertai parti gabungan baharu itu.

Perikatan diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada awal Ogos. 

Pada masa sama juga ketika itu, Umno dan PAS yang membentuk kerjasama atas nama Muafakat Nasional menjemput Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama mereka.

Pada 20 Oktober, Umno dan PAS mengumumkan mereka bersetuju mendaftarkan Muafakat Nasional sebagai gabungan rasmi. Kenyataan bersama kedua-dua parti tidak menyebut status Bersatu dalam Muafakat Nasional.

Umno dua minggu lalu mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukannya dalam kerajaan apabila membuat tuntutan kepada Perikatan sebagai ganti sokongan.

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat dua kali minggu lalu bagaimanapun kemudian menegaskan parti kekal mendukung kerajaan Muhyiddin.

Ia bagaimanapun mahu pilihan raya umum diadakan selepas penularan Covid-19 reda. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen