Umno terus bersama Perikatan, umum Zahid


Mohd Farhan Darwis Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Umno akan terus mendokong kerajaan PN tetapi tetap dengan prinsip tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Oktober, 2020.

UMNO kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), umum presidennya Ahmad Zahid Hamidi, selepas mesyuarat lebih tiga jam Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi yang turut menetapkan beberapa syarat ke arah kestabilan politik negara.

Antara syarat itu ialah agenda perdamaian nasional yang menggemblengkan semua parti politik termasuk parti pembangkang.

MT juga mahu kerajaan mengambil pendekatan “lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti” dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan kira-kira pukul 12.30 malam tadi, Zahid juga berkata Umno tetap dengan prinsip tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP, seperti yang pernah diputuskan sebelum ini.

“Majlis Kerja Tertinggi Umno mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP.

“Ahli-ahli Parlimen Umno akan terus mendokong kerajaan PN. 

“Umno menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu diedarkan kepada media selepas MT Umno selesai bermesyuarat, bermula kira-kira pukul 9 malam di ibu pejabatnya di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.

Beberapa ahli MT Umno yang ditemui selepas mesyuarat enggan mengulas lanjut.

Mesyuarat MT Umno malam tadi adalah untuk menentukan langkah politik parti, susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad tidak memperkenankan cadangan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat.

Mesyuarat malam tadi menyusul perbincangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengenai beberapa kemungkinan berhubung sokongan mereka kepada kerajaan PN.

Zahid juga merakamkan junjung kasih Umno atas titah Tuanku Agong tidak memperkenankan kuasa darurat diberi kepada kerajaan untuk menangani krisis semasa.

Bagi Umno, keputusan itu yang dicapai selepas dirunding dengan Raja-raja Melayu adalah “bijaksana dan melegakan rakyat”.

Umno juga kata Zahid, menyokong saranan Yang di-Pertuan Agong yang mahu ketegangan politik dikendurkan demi mempertahankan kestabilan politik. – 26 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen