PERBICARAAN di mahkamah sepatutnya boleh dibenarkan berjalan mengikut peraturan sama yang dikenakan bagi persidangan Parlimen, kata Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri hairan bagaimana ada “banduan” boleh berucap di Dewan Rakyat tetapi perbicaraan di mahkamah dihentikan, untuk membendung penularan Covid-19.
Dr Mahathir tidak menyebut nama sesiapa tetapi ucapannya ini dibuat selepas beliau menyentuh tentang “pakar budaya cash is king”, yang dipercayai merujuk pada Najib Razak.
“Tetapi amat pelik perbicaraan di mahkamah dihentikan tetapi banduan boleh berucap di dewan Parlimen.
“Jika boleh di Parlimen, tentulah boleh juga di Mahkamah,” katanya sewaktu membahaskan Belanjawan 2021, hari ini.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berucap membahaskan cadangan belanjawan yang sama pada Selasa.
Shahidan Kassim (Arau-Barisan Nasional) kemudian bangun mencelah meminta penjelasan sama ada banduan yang berucap di Parlimen yang dimaksudkan itu Najib atau ketua pembangkang Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir bagaimanapun enggan melayan pertanyaan itu.
“Yang berhormat, tidak perlulah saya jawab,” kata bekas perdana menteri, sebelum menyambung ucapannya.
Anwar pernah disabitkan tuduhan meliwat dan menjalani hukuman penjara sejak Februari 2015 sehingga menerima pengampunan diraja pada Mei 2018. Ia adalah hukuman kali kedua selepas tempoh hukuman penjara antara 1999 hingga 2004 bagi kesalahan sama yang lain.
Najib pula sedang menunggu rayuan selepas disabitkan tujuh tuduhan jenayah salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kes itu ditetapkan untuk rayuan pada 15 Februari tahun depan.
Najib sementara itu sedang dibicarakan atas beberapa tuduhan lain bersabit skandal 1MDB.
Mahkamah bagaimanapun ditangguh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober hingga 6 Disember.
Menurut Dr Mahathir, tempoh perbicaraan akan terus berlanjutan sekiranya mahkamah tidak meneruskan perbicaraan dengan melaksanakan langkah kawalan termasuk penjarakan.
“Kurangkanlah pemerhati dan media, dan amalkan perpisahan sejauh 1 meter antara mereka yang perlu berada semasa perbicaraan.
“Jika nak nanti Covid-19 (berakhir), bertahun-tahun lagi diperlukan,” kata Dr Mahathir lagi.
Selain Najib, beberapa ahli Parlimen BN juga sedang menghadapi perbicaraan atas pelbagai tuduhan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram, termasuk melibatkan dana 1MDB.
Mereka ialah Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) yang juga presiden Umno, Tengku Adnan Mansor (Putrajaya), Bung Moktar Radin (Kinabatangan) serta Ahmad Maslan (Pontian).
Dalam ucapannya, Dr Mahathir juga mengulas peraturan yang mengehadkan kehadiran 80 ahli Parlimen pada satu-satu masa persidangan bagi menangani Covid-19.
Katanya, beliau tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana banyak langkah pencegahan sudah diambil termasuk ujian Covid-19, kuarantin dan skrin yang memisahkan ahli Parlimen dalam Dewan.
Had jumlah keanggotaan itu juga tidak perlu kerana tempat duduk wakil rakyat berkenaan tetap tidak berubah.
“Apa perlunya mengurangkan kehadiran kepada 80 jika jarak antara ahli sama seperti 222. Sebaliknya di waktu belah-bahagi 222 ahli boleh masuk Dewan,” katanya. – 12 November, 2020.
Komen