AHLI Parlimen pembangkang menggunakan media sosial untuk menyuarakan rasa kurang senang mengenai bekas perdana menteri Najib Razak membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen, walaupun dihukum kerana kesalahanrasuah.
Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir menulis di Twitter mempersoalkan apakah ia norma baharu mengizinkan ahli Parlimen Pekan - yang disabitkan kesalahan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah - untuk membahaskan pelan perbelanjaan negara di Dewan Rakyat.
“Seumur hidup, saya tidak faham bagaimana seorang bekas PM yang disabitkan atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pelanggaran CBT dan AMLA masih boleh bercakap mengenai belanjawan negara di Parlimen! Norma baru? ” kata bekas menteri besar Kedah itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata beliau keluar dari Dewan Rakyat sebagai protes.
Najib Razak telah disabitkan bersalah dalam kes rasuah. Tapi hari ini, beliau hadir sebagai Ketua BBC dan berbahas belanjawan 2021 seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.
Saya PROTES dan sudah WALK OUT! #NotMyNewNormal @MuhyiddinYassin— Maria Chin Abdullah (@mariachin) November 10, 2020
Dalam perbahasannya Najib mengumumkan Barisan Nasional (BN) hanya akan menyokong Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan membuat beberapa pindaan untuk memenuhi tuntutan rakyat yang disuarakan oleh parti itu.
Pada satu peringkat semasa perbahasan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menegur RSN Nayer (Jelutong-Pakatan Harapan) kerana cuba mengganggu ruang yang diperuntukkan kepada Najib.
Rayer beberapa kali bangun membantah dengan alasan Najib melanggar peraturan mesyuarat, termasuk mempersoalkan bagaimana seorang yang disabit jenayah boleh dibenarkan berbahas di Dewan Rakyat. Bantahan Rayer ditolak oleh speaker.
“Ini sebenarnya nak mengganggu perjalanan prosiding. Kita nak beri kepada YB Pekan sejam setengah. Jangan kita buang masa.
“Semalam YB Port Dickson (selaku) ketua pembangkang (dapat) sejam setengah.
“Kita beri peluang kepada YB Pekan untuk berucap bagi pihak backbenchers (penyokong kerajaan),” kata Azhar, yang turut memberi amaran kepada Rayer supaya tidak lagi mengganggu persidangan.
Beberapa ahli Parlimen BN juga bangun mencelah untuk mempertahankan Najib dan menyanggah Rayer, antaranya Abdul Azeez Rahim (Baling), Shahidan Kassim (Arau), Ramli Mohd Noor (Cameron Highlands), dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai, selepas didapati bersalah kerana menyalahgunakan kuasanya dalam menerima dana RM42 juta daripada SRC International pada 2014 dan 2015.
Beliau disabitkan dengan tujuh tuduhan: tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Najib dilantik sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) sebelum sesi Parlimen.
The Malaysian Insight melaporkan pada 1 November yang pelantikan Najib akan memberikannya kedudukan dan peranan utama apabila Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021.
“Najib dilantik baru-baru ini menjelang sidang Parlimen supaya beliau boleh mengendalikan wakil rakyat BN di Dewan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
BN mempunyai 43 ahli Parlimen tetapi 20 daripadanya memegang jawatan dalam kerajaan. Baki 23 wakil rakyat BN akan menentukan perbahasan Belanjawan 2021, yang akan mengangkat suara dan tuntutan Umno. – 10 November, 2020.
Komen