RM85.5j untuk Jasa buat rakyat marah, kata Najib


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan dana sebanyak RM85.5 juta untuk Jasa lebih bermanfaat jika dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

KERAJAAN tiada alasan untuk memperuntukkan sehingga RM85.5 juta bagi menubuhkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kerana dana sebanyak itu lebih bermanfaat dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat, kata Najib Razak.

Peruntukan sebesar itu hanya mengundang kemarahan rakyat, yang terjejas teruk akibat kesan penularan Covid-19, kata bekas perdana menteri.

“Semasa kerajaan sedang berkembang memang kerajaan perlu unit komunikasi untuk terangkan dasar kerajaan agar tidak diputar belit. Tetapi masa sekarang, dengan kenaikan empat kali ganda peruntukan dana Jasa berbanding masa BN, adalah amat sukar diterima ramai.

“Ini mengundang kemarahan rakyat,” katanya, semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Najib, secara peribadi beliau dapat terima jika peruntukan sebesar itu digunakan untuk kemudahan rakyat semasa menghadapi pandemik Covid-19.

“Saya boleh terima kalau peruntukan itu dibelanja beli sanitizer dan pelitup muka untuk rakyat, atau diberi kepada ibu bapa untuk menggantikan rancangan bekalan makanan tambahan bagi murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah ditutup sehingga awal tahun depan.

“Tapi saya tak boleh terima jumlah RM85.5 juta untuk Jasa,” katanya. 

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM85.5 juta untuk penubuhan semula Jasa, dengan RM4 juta daripadanya bagi tujuan komunikasi strategik.

Jasa sebelum ini dimansuh dua minggu selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya pada Mei 2018, antara lain dengan alasan kerana kepakarannya tidak lagi diperlukan susulan pertindihan fungsi dengan Jabatan Penerangan.

Jasa sebelum ini digunakan sebagai alat propaganda Barisan Nasional, yang antara lain diingati kerana menggambarkan DAP sebagai sebuah parti politik yang perkauman dan cauvinis.

Menjelang PRU14, Jasa menganjurkan siri ceramah yang dibawa menjelajah ke seluruh negara untuk “membetulkan salah tanggap” mengenai skandal 1Malaysia Development berhad (1MDB), yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas ketua pengarah Jasa Mohd Puad Zarkashi kelmarin menegur Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah agar tidak apologetik dalam soal agensi itu kerana ia sememangnya sebuah badan politik.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan sebelum itu mempertahankan Jasa bukan sebuah unit politik.

Sumber di Putrajaya juga memberitahu The Malaysian Insight, Saifuddin tahu jabatan itu hendak dihidupkan semula tetapi tidak dimaklumkan jumlah peruntukannya, yang kini jadi perhatian umum. – 10 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen