Kerajaan umum bubar Pemandu, Jasa, JKKKP, MPN


The Malaysian Insight

TIGA badan yang bersifat platform politik mendukung kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dimansuhkan kerana tidak ada lagi keperluan untuk agensi itu wujud, kata Dr Mahathir Mohamad.

Tiga badan itu ialah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP),  Majlis Profesor Negara (MPN) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu).

Menurut Dr Mahathir, ketiga-tiga badan menjadi satu platform bermotifkan politik bagi mendukung kerajaan terdahulu.

Mengulas mengenai MPN, Dr Mahathir berkata pada mulannya badan itu digunakan untuk mendapat maklumat daripada golongan berpengetahuan yang tinggi.

“Tapi masa akhir ini banyak unsur politik. Jadi saya rasa ia banyak digunakan untuk sokong kerajaan. Kita tak nak amalan-amalan tak baik terdapat seperti dahulu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri pertama penggal ini.

Katanya Jasa juga akan dibubarkan kerana kepakaran itu tidak diperlukan oleh kerajaan.

“Jasa akan dibubarkan. Kami tidak perlukan kepakaran dari mereka. Saya rasa kami sudah cukup pakar,” kata perdana menteri berusia 93 tahun itu lagi. 

Tambahnya, JKKP juga turut menerima nasib yang sama atas sebab yang serupa.

Jelasnya lagi pegawai kerajaan persekutuan sedia ada di negeri terbabit sudahpun memadai untuk menjalankan tugas kerajaan.an 

“JKKKP yang sebenarnya jadi kerajaan tambahan di negeri yang bukan ditadbir (kerajaan persekutuan). Jadi itu akan digugurkan… sebab banyak berunsur politik dalam pentadbiran sebelumnya.

“Kita sudah ada ada pegawai kerajaan yang boleh jalankan tugas dan kita tidak ganti JKKKP ini kerana kita tidak amalkan politik seperti kerajaan terdahulu,” katanya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jemaah menteri penggal ini.

Ketika ditanya lanjut, Dr Mahathir turut mengesahkan bahawa Pemandu juga akan dibubarkan.

Pemansuhan jawatankuasa, jabatan dan agensi terbabit merupakan salah satu dari langkah mengurangkan kos perbelanjaan Putrajaya yang diumumkannya hari ini. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen