Jasa memang agensi politik, kata Puad


Sememangnya Jasa ada kaitan dengan politik, kata Mohd Puad Zarkashi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

PUTRAJAYA tidak perlu defensif dalam mempertahankan langkah menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kerana jabatan itu sememangnya ada kaitan dengan politik, kata bekas ketua pengarahnya Mohd Puad Zarkashi.

Malah setiap kerajaan memerlukan beberapa agensi sebagai lidah penyampai dasar dan inisiatifnya, katanya menerusi catatan di Facebook hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah yang mempertahankan rancangan Putrajaya untuk menghidupkan semula Jasa tidak bermotifkan politik, tidak seperti semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Saifuddin Abdullah tidak perlu defensif bahawa Jasa tidak ada kaitan politik kepada kerajaan. 

“Dalam kenyataannya, Jasa akan bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi kerajaan secara strategik. 

“Itu memang tujuan Jasa. Ia tetap dikaitkan dengan politik,” kata Puad.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan semalam mempertahankan RM85.5 juta yang diperuntukkan kepada Jasa dalam Belanjawan 2021.

Menurut KKM, Jasa tidak terlibat dengan politik dan hanya bertujuan untuk mengukuhkan keharmonian kaum dengan menyebarkan maklumat dengan lebih berkesan.

Jasa dibubarkan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018.

Puad dalam pada itu berkata Jasa sebelum ini dibubarkan atas kehendak DAP.

“DAP tutup Jasa sebagai balas dendam kerana Jasa paling aktif menjawab pembohongan DAP melalui media sosial.”

Katanya lagi, apa yang dipersoalkan banyak pihak ketika ini adalah berkenaan peruntukan yang terlalu besar untuk Jasa.

“Isunya ialah peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jasa terlalu besar. Bajet itu tidak sensitif kepada ‘keutamaan’ tatkala negara dilanda gelombang tiga Covid-19,” jelasnya, sambil menambah jumlah peruntukan tersebut perlu dikurangkan.

Peruntukan RM85.5 juta itu hampir tiga kali ganda daripada RM30 juta yang diperuntukkan untuk Jasa oleh BN  di bawah Belanjawan 2018.

Selain peruntukan terlalu besar, Jasa juga dikaitkan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Bersatu, kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

“Ada dakwaan, Dr Afif Bahardin bakal menjadi KP Jasa. Dia pentaksub Azmin. Sebab itu Azmin dituduh di belakang tabir Jasa dapat 85.5 juta.

“Saifuddin mengakui dengan jumlah besar itu Jasa akan mengambil staf lebih ramai. Apakah mereka akan menjadi jentera Bersatu di setiap DUN yang berhadapan masalah kekurangan cawangan dan ahli di akar umbi untuk menghadapi PRU ke-15?” – 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen