Saifuddin tidak tahu peruntukan besar untuk Jasa, kata sumber


The Malaysian Insight

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah didakwa tahu mengenai Jasa hendak dihidupkan semula, tetapi tidak dimaklumkan jumlah peruntukannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah terkejut melihat peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam Belanjawan 2021, kata sumber.

Saifuddin tahu jabatan itu hendak dihidupkan semula, kata mereka, tetapi beliau tidak dimaklumkan jumlah peruntukannya, yang kini jadi perhatian umum selepas Belanjawan 2021 dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.

“Beliau terkejut bila nampak jumlah itu. Beliau tidak pernah minta sebanyak itu diperuntukkan untuk Jasa,” kata seorang sumber di Putrajaya, yang bercakap kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.

The Malaysian Insight difahamkan Saifuddin sudah mengarahkan ketua setiausaha kementerian yang baharu Mohammad Mentek untuk menyiasat.

Bekas KSU Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Suriani Ahmad mengambil tempat Mohammad di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Pertukaran mereka berkuat kuasa minggu lalu.

KKMM pada Ahad mempertahankan peruntukan yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan untuk Jasa, yang hendak dihidupkan semula selepas dimanduhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menggantikan Barisan Nasional (BN) pada Mei 2018.

Dalam satu kenyataan, KKMM berkata Jasa bukan bermotifkan politik tetapi untuk tujuan komunikasi strategik kerajaan serta melawan penyebaran berita palsu.

KKMM juga berkata Jasa yang hendak diwujudkan semula tidak boleh dibandingkan dengan jabatan yang dimansuhkan oleh kerajaan PH, yang digunakan oleh kerajaan BN sebagai unit propaganda.

“Menteri tahu”

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata peruntukan besar untuk Jasa dalam Belanjawan 2021 adalah hasil perbincangan bersama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin sementara itu memberitahu The Malaysian Insight beliau bertanggungjawab membawa cadangan untuk menubuhkan semula Jasa.

Namun beliau menolak bahawa cadangan itu di luar pengetahuan Saifuddin.

“Ya, saya yang cadang hidupkan Jasa, tapi beliau (Saifuddin) tahu… mungkin sebab beliau menteri jadi banyaklah tugasnya.

“Menteri inikan terlalu aktif, terkenal jadi dia sibuk sampai terlupa benda yang dah disampaikan kepada beliau,” katanya, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.

Zahidi juga berkata peruntukan besar untuk Jasa dalam Belanjawan 2021 adalah hasil perbincangan bersama.

Beliau juga menjelaskan peruntukan RM85.5 melibatkan kos pengambilan lebih 1,000 bekas pekerja Jasa.

“(Persetujuan untuk) dana RM85.5 juta dibuat setelah Kementerian Kewangan berbincang dengan pihak yang lain termasuk dengan pegawai tertentu yang tubuhkan Jasa dulu.

“Yang terlibat sebenarnya 1,000 lebih kakitangan, bukan 80 orang. Lagipun sebab kita nak tubuh satu agensi baharu jadi semua aset-aset baharu,” katanya.

Zahidi yang juga ahli Parlimen Padang Besar juga menjelaskan Jasa diwujudkan semula kerana mahu membela nasib bekas pekerjanya yang dibuat semasa pentadbiran PH.

“Jadi kita atur hidupkan balik dan adakan peruntukan tapi kita kena terima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana membela nasib orang Melayu dalam Jasa.

“Kalau kata Muhyiddin tak setuju tak boleh juga sebab takkanlah beliau tidak kesian dan tidak membela nasib pekerja Jasa,” katanya.

Jawatan kanan masih kosong

Sumber di Putrajaya turut memberitahu Jasa belum melantik ketuanya. Jabatan itu kini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Zaharuddin pernah mengetuai Institut Pemikiran Dr Mahathir di Universiti Utara Malaysia sebelum bertugas sebagai pegawai komunikasi strategik di Putrajaya.

“Jawatan (ketua pengarah) belum diisi. Mungkin tunggu PM untuk pilih,” kata sumber, merujuk kepada Muhyiddin.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan KKMM sudah menubuhkan sebuah unit propaganda baharu dengan dana RM30 juta.

Zahidi juga ketika itu mengesahkan KKMM sedang menubuhkan Jasa dan akan mengambil 500 petugas.

Jasa digunakan sebagai alat propaganda BN, yang antara lain diingati kerana menggambarkan DAP sebagai sebuah parti politik yang perkauman dan cauvinis.

Menjelang PRU14, Jasa menganjurkan siri ceramah yang dibawa menjelajah ke seluruh negara untuk “membetulkan salah tanggap” mengenai skandal 1Malaysia Development berhad (1MDB), yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Dua minggu selepas menang pilihan raya itu, kerajaan PH di bawah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran beberapa agensi termasuk Jasa.

Antara alasannya ketika itu kerana kepakarannya tidak lagi diperlukan susulan pertindihan fungsi dengan Jabatan Penerangan. – 10 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen