Putrajaya tubuh unit propaganda baharu


Kamles Kumar

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menubuhkan unit propaganda baharu yang belum dinamakan pada April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2020.

PUTRAJAYA menubuhkan unit propaganda baharu, sama seperti unit Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini tidak lagi berfungsi, bagi menyebarkan propaganda kerajaan di media sosial, kata sumber.

Unit propaganda baharu yang belum dinamakan, ditubuhkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah pada April selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Saifuddin untuk mengulas dan sedang menunggu jawapannya.

Sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insight, satu kertas kerja diserahkan kepada Kabinet seawal Mac dan diluluskan serta-merta.

Antara perkara pertama yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika menang kuasa persekutuan pada 2018 adalah membubarkan Jasa, yang pada masa itu terkenal kerana memburukkan pembangkang.

Perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkata mereka perlu membubarkan Jasa untuk membantu mengurangkan hutang negara yang pada masa itu berjumlah RM1 trilion dengan mengurangkan perbelanjaan.

The Malaysian Insight difahamkan anggaran awal sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi memulakan semula entiti baharu yang dijangka bertambah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Pada masa ini, anggaran adalah RM30 juta, RM10 juta untuk gaji dan RM20 juta untuk anggaran operasi tetapi mereka dijangka dapat lebih banyak,” kata sumber lain.

Namun, unit ini belum beroperasi kerana mereka menghadapi masalah kewangan kerana Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng tidak menyediakan peruntukan untuk entiti ini.

“Terdapat isu belanjawan, mungkin perlu ada belanjawan baharu. Mereka masih menggunakan belanjawan yang dibentangkan Lim,” kata sumber kerajaan.

Unit ini juga akan dinamakan semula dan beroperasi di Tingkat 3, Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya.

Putrajaya dilaporkan tubuh unit propaganda baharu, sama seperti Jasa yang kini tidak lagi berfungsi, bagi menyebarkan propaganda kerajaan di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2020.

Jasa digunakan sebagai alat propaganda oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menyusup masuk ke sekolah, universiti dan agensi kerajaan.

Unit ini terkenal dengan usahanya menggambarkan DAP sebagai parti rasis dan chauvinis.

Semasa menjelang pilihan raya umum lalu, Jasa menganjurkan perbincangan di seluruh negara untuk “membetulkan salah faham” terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sangat berkaitan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Perancangan terkini akan dimulakan dengan 52 orang dan akan dinaikkan sehingga 1,000 jawatan kontrak selepas pelantikan ketua pengarah.

Menurut sumber lain, unit itu pada mulanya diketuai oleh Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek tetapi menjadi sia-sia selepas beliau dilantik sebagai ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang baharu.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai ketua pengarah ialah Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan, yang lantang mempertahankan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Nama lain yang dikaitkan dengan unit itu ialah bekas pegawai Saifuddin, Zakaria Ab Rahim.

Namun, beberapa puak dalam Umno yang dikaitkan dengan Jasa sebelum ini tidak berpuas hati kerana mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Beberapa orang Umno yang dulu terlibat dalam Jasa tidak gembira. Mereka tidak diberitahu mengenai hal ini dan mereka juga mahu orang mereka diambil kerja semula,” kata sumber Umno.

Kira-kira 800 kakitangan kontrak daripada Jasa diberhentikan semasa unit ditutup pada 2018.

Bekas pengarah bahagian komunikasi strategik Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz mendesak Putrajaya mengambil semula kakitangan kerana mereka bukannya lantikan politik tetapi menjalani saringan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Pegawai Jasa terlibat harus diberi pampasan sewajarnya kerana penamatan kontrak mereka yang tidak adil dan penutupan Jasa.

“Mereka menjalankan pekerjaan dengan baik, jadi mereka harus diberi jawatan tetap dan bukan kontrak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tun Faisal menambah entiti baharu ini tidak sepatutnya berada di bawah kementerian, sebaliknya unit propaganda harus berada di bawah Pejabat Perdana Menteri untuk pengurusan lebih sepadu.

Jasa pada asalnya ditubuhkan pada 1960 sebagai cabang urusan khas di bawah jabatan perkhidmatan maklumat. Fungsinya adalah untuk memelihara dan menjaga kepentingan kerajaan.

Pada 2017, kerajaan memperuntukkan RM22.89 juta untuk operasinya. – 11 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen