Biaya Jasa untuk perkasa keharmonian kaum, kata kementerian


KKMM berkata peruntukan untuk Jasa akan digunakan untuk merekrut pekerja di semua negeri dan daerah bagi mengukuhkan keharmonian kaum dengan menyebarkan maklumat dengan berkesan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

PERUNTUKAN untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam Belanjawan 2021 akan digunakan untuk merekrut pekerja di semua negeri dan daerah bagi mengukuhkan keharmonian kaum dengan menyebarkan maklumat dengan berkesan, kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini.

Kementerian berkata RM85.5 juta yang diperuntukkan untuk Jasa juga akan digunakan bagi membiayai pengembangan modul, latihan kecekapan kakitangan dan juga infrastruktur digital.

“Selain itu, ia juga melibatkan operasi pembiayaan bagi memobilisasi staf terutama di daerah terpencil di negara ini, serta biaya lain yang diperlukan dalam penubuhan agensi baru,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Jasa adalah jabatan yang secara aktif digunakan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai alat propaganda bagi menyebarkan kempen pesanan awamnya. Jabatan itu kini dihidupkan kembali dan ditingkatkan secara signifikan baik secara skala dan belanjawan.

Unit ini dihidupkan semula setelah dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018.

Belanjawan 2021 untuk Jasa hampir tiga kali ganda dari jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2018 sebanyak RM30 juta.

“Kementerian memahami keprihatinan rakyat terhadap Jasa yang sebelum ini tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya di bawah pentadbiran sebelum ini.”

Namun, kementerian itu berkaa bahawa ia akan meyakinkan semua pihak bahawa penubuhan semula Jasa adalah terdiri dari pasukan yang tidak terlibat dengan politik dan hanya berminat untuk memperkuat pembangunan sosial masyarakat berbilang kaum.

“Jasa akan bertanggungjawab mengadakan sesi yang melibatkan pihak berkepentingan termasuk pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin masyarakat setempat dalam mendapatkan input penting bagi keharmonian negara,” kata kementerian itu. – 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen