Tiada pertemuan Muhyiddin, Zahid, Hadi malam ini


Mohd Farhan Darwis

Tiga presiden, Ahmad Zahid Hamidi, Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin patutnya berjumpa malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

MESYUARAT Muafakat Nasional yang digembar-gemburkan antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya Ahmad Zahid Hamidi dari Umno dan Abdul Hadi Awang dari PAS tidak berlangsung malam ini, sekaligus mencetuskan spekulasi tentang kedudukan kerajaan Pakatan Nasional.

Setiausaha Muafakat Nasional Annuar Musa malam ini berkata mesyuarat itu dibatalkan. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Pemimpin Umno dan PAS yang berada di bangunan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) juga enggan bercakap dengan media tentang mesyuarat yang dijadualkan pada 8 malam.

Umno sebelum itu menangguhkan mesyuarat Majlis Tertingginya yang dijadual pada esok di Janda Baik, Pahang kerana perintah kawalan pergerakan bersyarat. Mesyuarat dijadual membincangkan kerjasama Umno dalam kerajaan PN yang mula mentadbir Putrajaya sejak 1 Mac lalu.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Ketua Penerangan partinya Kamaruzaman Mohamad enggan memberi sebarang komen selepas lebih dua jam dilihat berada di Menara Dato Onn.

Annuar sebelum itu dalam mesej ringkas kepada wartawan berkata mesyuarat malam ini ditangguhkan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tiada (mesyuarat) … ada yang hadir tapi dibatalkan atas nasihat MKN,” katanya, menjawab pertanyaan mengenai mesyuarat malam ini.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang ditemui pemberita juga mengelak untuk menjawab pertanyaan pemberita.

“Pejabat saya di sini, di tingkat 28,” katanya.

Pemimpin PAS dilihat memasuki Menara Dato Onn sekitar pukul 8.30 malam tadi, dan keluar sekitar pukul 11 malam.

Mesyuarat malam ini dikatakan akan meluruskan perselisihan antara Bersatu, Umno dan PAS dalam usaha menyelesaikan kebuntuan politik yang sedang berlaku.

Mesyuarat ini dijadualkan ketika Muhyiddin dikatakan sudah tidak lagi ada majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim minggu lalu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan bahawa beliau kini ada sokongan majoriti yang cukup di Dewan Rakyat manakala kerajaan pimpinan Muhyiddin, katanya, sudah jatuh.

Kedua-dua mesyuarat itu dan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno minggu ini juga jadi perhatian selepas Biro Politik Umno mencadangkan agar Umno menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan pimpinan Muhyiddin.

Biro Politik Umno juga mencadangkan agar MN didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama MN pada September 2019, ketika dua parti utama Melayu itu menjadi pembangkang.

Pada hujung Ogos, Ahmad Zahid mengesahkan Umno dan PAS menjemput Bersatu untuk menyertai MN.

PAS bagaimanapun pada masa sama adalah salah sebuah parti penaja PN, yang pendaftarannya disahkan pada awal Ogos.

Selain PAS dan Bersatu, gabungan itu disertai secara rasmi oleh dua parti di Sabah iaitu Star dan SAPP.

Penganalisis politik dalam pada itu melihat sudah sampai masanya untuk PAS membuat pilihan antara PN atau MN. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen