PKPB paksa Umno tangguh mesyuarat, beri ruang untuk Perikatan bertahan


Majlis Tertinggi Umno patutnya bermesyuarat esok di Janda Baik, Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

UMNO menangguhkan mesyuarat Majlis Tertinggi yang bakal menentukan sama ada ia akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional, dijadualkan esok, kerana perintah kawalan pergerakan bersyarat, kata pegawai parti.

PKPB yang dikuatkuasa di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah akan menghalang ramai ahli MT daripada pergi ke Janda Baik, Pahang. 

“Semua orang mahu hadir mesyuarat itu dan bukan melalui panggilan video. Mereka juga tak mahu langgar PKPB,” kata seorang pegawai Umno kepada The Malaysian Insight.

“Nampaknya kerajaan PN akan bertahan lebih lama sehinggalah Umno buat keputusan,” kata seorang pemimpin parti yang dihubungi.

Perjalanan rentas negeri dilarang sepanjang PKPB dan ahli merasakan adalah tidak adil kepada rakyat sekiranya lebih 50 ahli majlis terutama dari zon PKPB dibenarkan ke Pahang ketika ini.

Ditambah pula dengan kes harian Covid-19 yang tinggi saban hari, ahli merasakan adalah wajar mesyuarat ditangguhkan sehingga tamat tempoh PKPB yang dikuatkuasa sejak 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

Malaysia hari ini merekodkan 865 kes baharu Covid, menjadikan jumlah kes wabak negara sebanyak 21,363 dengan 190 kematian.

The Malaysian Insight bercakap dengan beberapa ahli Umno sebelum ini yang berkata mesyuarat MT itu akan menjadi penentu sama ada kerajaan PN terus berdiri atau tumbang.

Lebih 50 pemimpin kanan Umno sepatutnya hadir mesyuarat esok bagi membincangkan pelbagai isu termasuklah menentukan sokongan terhadap PN yang hanya mempunyai sokongan tipis lebih dua kerusi Dewan Rakyat.

Antara agenda utama lain termasuklah perbincangan sama ada menyokong atau menolak keputusan Biro Politik Umno pada 13 Oktober lalu untuk mempertimbangkan semula sokongan terhadap PN.

Selepas mesyuarat Biro Politik itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti akan mempertimbangkan sokongan dengan beberapa syarat baharu kepada kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight yang antara tuntutan adalah rombakan semula Kabinet dengan portfolio penting diberikan kepada pemimpin Umno berjawatan dan kemungkinan jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada pemimpin parti nasionalis Melayu itu.

Antara agenda lain juga adalah bedah siasat Pilihan Raya Negeri Sabah.

PRN Sabah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi Umno apabila Hajiji Md Noor daripada Bersatu dilantik sebagai ketua menteri dan bukannya Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Beberapa ahli berkata, situasi di Sabah menjadi kemuncak rasa tidak puas hati akar umbi yang merasakan mereka dipinggirkan dalam PN yang diterajui Bersatu.

Mereka mendesak Muhyiddin membuktikan keikhlasannya dengan berkongsi kuasa, menambah yang Umno tidak akan membiarkan dirinya disabotaj dan dilemahkan. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen