Zahid sahkan Umno, PAS jemput Bersatu masuk Muafakat Nasional


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan Umno tidak menyertai PN tetapi menyokong kerajaan yang dibentuk oleh gabungan itu di Putrajaya dan di beberapa negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2020.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Umno dan PAS menjemput Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), selepas tular sepucuk surat di media sosial semalam mengenai hal itu.

Katanya, jemputan itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya dan Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) tandatangan surat jemputan kepada PPBM (Bersatu) berdasar kepada keputusan mesyuarat berkenaan,” tulisnya di Twitter malam tadi.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut tarikh mesyuarat itu.

Hantaran Zahid di Twitter muncul selepas sepucuk surat dengan kepala surat MN tersebar di media sosial semalam. 

Surat yang beralamat dari pejabat MN di Tingkat 36, Menara Dato’ Onn itu ditandatangani oleh Zahid dan Hadi.

Surat bertarikh 13 Ogos itu ditujukan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Surat itu antara lain menyuarakan kesediaan Umno dan PAS untuk menerima masuk Bersatu dalam muafakat dua parti Melayu itu.

“Kami mengambil maklum kesediaan Tan Sri mempertimbangkan penyertaan Bersatu sebagai anggota Muafakat Nasional. Sehubungan dengan itu, dengan sukacitanya mengalu-alukan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional.

“Maka dengan ini, Muafakat Nasional menghulurkan jemputan tersebut kepada Tan Sri bagi merealisasi harapan kami di Muafakat Nasional,” kata surat itu.

Surat itu pula tersebar ketika PAS mengesahkan ia bersama Bersatu menjadi penaja untuk mendaftar secara rasmi gabungan Perikatan Nasional (PN). 

Zahid sebelum ini mengumumkan Umno tidak menyertai PN tetapi menyokong kerajaan yang dibentuk oleh gabungan itu di Putrajaya dan di beberapa negeri.

Semasa pengumumannya itu juga, Zahid mendedahkan Muhyiddin menyatakan hasrat kepada Umno untuk Bersatu menyertai MN. 

“Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” katanya, dalam sidang media pada 30 Julai lalu.

Pada hari sama, Setiausaha Agung BN Annuar Musa dilapor oleh Bernama berkata MN sudah membuat pelawaan rasmi kepada Bersatu untuk menyertai kerjasama Umno dan PAS itu.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan oleh Zahid dan Abdul Hadi sejak berbulan lalu.

Annuar juga dilapor yakin perkara itu akan selesai menjelang ulang tahun pertama kerjasama rasmi Umno dan PAS bulan depan.

MN adalah kerjasama rasmi politik UMNO dan PAS yang meterai pada 14 September 2019, kemuncak daripada siri kerjasama tidak rasmi termasuk dalam beberapa pilihan raya kecil sejak selepas pilihan raya umum pada Mei 2018.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan baru-baru ini berkata gabungan Umno, PAS, dan Bersatu akan memperkukuhkan Melayu dan Islam, dalam gagasan “Melayu Raya”.

“PAS menyakini gabungan bersepadu kepimpinan MN yang akan diterajui oleh presiden Umno, PAS dan Bersatu merupakan gandingan terbaik untuk menerajui kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan minggu lalu. – 21 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen