Umno tidak sertai Perikatan, umum Zahid Hamidi


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak akan sertai PN tetapi sokong kerajaan yang dibentuk oleh gabungan itu di Putrajaya dan beberapa negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight 30 Julai, 2020.

UMNO tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN), jika ia didaftarkan, tetapi menyokong kerajaan yang dibentuk oleh gabungan itu di Putrajaya dan beberapa negeri, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Umno tidak menyertai gabungan itu kerana mahu memperkukuhkan kerjasama politik dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan komponen Barisan Nasional (BN), jelasnya.

“Umno membuat keputusan untuk tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan MN bersama-sama dengan PAS dan komponen BN.

“Sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen Umno dan BN serta Adun-Adun dalam pembentukan kerajaan pusat dan di beberapa negeri tertentu,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Bersatu mahu masuk Muafakat Nasional

Zahid juga berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semalam memaklumkan hasrat partinya mahu menyertai MN. Hasrat itu disampai dalam pertemuan perdana menteri bersama ahli Parlimen BN di Bangunan Parlimen tengah hari semalam.

“Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” katanya.

Jelas Zahid, beliau menyerahkan kepada jawatankuasa induk MN untuk menimbang hasrat Bersatu, dengan melihat sejauh mana penyertaan parti itu akan mengukuhkan lagi muafakat demi kepentingan rakyat dan negara.

Ditanya bila keputusan mengenainya akan dibuat, Zahid berkata: “Kita utamakan raya haji dulu, baru kita cerita hal politik.”

Umat Islam akan menyambut Aidiladha esok (Jumaat, 31 Julai).

Sementara itu, menjawab soalan wartawan, Zahid berkata keputusan tidak menyertai PN dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuarat pada 24 Julai.

Katanya, keputusan itu mengambil kira bahawa MN adalah wadah terbaik untuk Umno dan PAS dan parti-parti lain menghadapi “apa saja kemungkinan dalam waktu yang terdekat.”

Jelas beliau keputusan itu “sudah difikirkan semasak-masaknya” oleh kepimpinan Umno dan BN.

Umno dan PAS menyertai gabungan atas nama PN yang dibentuk ketika kemuncak kemelut politik pada hujung Februari yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari PH, sementara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad letak jawatan menyebabkan kabinetnya gugur.

Pada masa sama, 11 ahli Parlimen PKR diketuai bekas timbalan presiden yang dipecat Mohamed Azmin Ali juga menarik sokongan mereka daripada PH.

Dengan sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, Umno, PAS, dan Bersatu membentuk kerajaan baharu, dan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac.

Bagaimanapun sejak itu, beberapa pemimpin kanan Umno menegaskan sokongan parti itu hanya untuk membentuk kerajaan pada masa itu. Mereka membayangkan kerjasama Umno dengan Bersatu tidak akan berpanjangan pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman malam minggu lalu meluahkan kekesalan apabila berkata Umno membuat tindakan tidak bijak menyertai PN.

Beliau memberi contoh bagaimana kerjasama itu menyulitkan Umno dalam rundingan menentukan pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum, yang dijangka akan diadakan pada tahun ini lebih awal daripada mandat sebelum Julai 2023. – 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen