Tak bijak masuk kerajaan Perikatan, kata pemimpin Umno


Zaim Ibrahim

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajudddin Abdul Rahman berkata Umno kini sukar membuat tuntutan untuk bertanding di kerusi tradisinya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2020.

GABUNGAN dengan Bersatu, PAS dan puak Azmin Ali dalam Perikatan Nasional (PN) adalah tindakan yang tidak bijak, kata pemimpin kanan Umno Tajudddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, ini kerana Umno akan berkelahi dengan parti tersebut disebabkan isu pembahagian kerusi untuk bertanding pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjangka demikian kerana melihat Umno kini sukar membuat tuntutan untuk bertanding di kerusi tradisinya.

Katanya, walaupun kalangan pemimpin Umno mendakwa kerusi tradisi itu akan kekal menjadi kerusi parti itu, ia tidak mudah seperti yang diperkatakan.

“Kemasukan kita dalam Perikatan Nasioanal adalah satu keputusan yang tidak begitu bijak. Tetapi apakan daya kita dah diheret masuk. Sekarang ini kita tak boleh keluar begitu saja.

“Saya dah beritahu kita akan hadapi cabaran (pembahagian) kerusi-kerusi dalam pilihan raya akan datang, banyak orang ambil mudah.

Katanya, tuntutan untuk kembali bertanding di kerusi yang kini menjadi milik Bersatu juga sukar kerana tidak akan dilepaskan dengan mudah oleh parti itu.

Pendirian tersebut dinyatakan sendiri oleh presiden parti berkenaan Muhyiddin Yassin dalam dua pertemuan, kata ahli Parlimen Pasir Salak itu lagi.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin menegaskan supaya Umno hanya bertanding di kawasan yang kini diwakilinya manakala Bersatu juga kekal mempertahankan kawasan diwakili parti tersebut.

“Tapi sebahagian daripada kita berfikiran senang dan mudah,” tambah Tajuddin dalam ucapan di satu program Umno di Alor Setar, Kedah.

Ucapan itu yang disiarkan secara langsung di Facebook Umno Kedah pada Sabtu.

Beliau turut mendedahkan, isu pembahagian kerusi bukan hanya menyebabkan Umno bergaduh dengan Bersatu malah kini dengan PAS.

Malah ia akan menyebabkan hubungan dengan parti rakan dalam Muafakan Nasional itu akan renggang, katanya.

“Kita akan kelahi dengan Bersatu untuk pembahagian kerusi. Tunggulah ini bacaan saya.

“Saya tegur PAS, macam mana perebutan PAS dengan Umno untuk tempat-tempat tertentu. Tidak mesra, tidak seronok, seperti Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Tajuddin turut mengingatkan bahawa Umno pada asalnya mahu bertanding pilihan raya sebagai pembangkang tetapi perkara itu berubah selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Katanya beliau menolak pembentukan kerajaan PN sejak awal lagi dan mengaitkan dengan sokongan PAS waktu itu supaya Dr Mahathir Mohamad terus menjadi perdana menteri ketujuh.

“Apa untung kita sokong Dr Mahahir Mohamad (sebagai perdana menteri)? Semua ajak sokong Tun Mahathir, PAS ajak kita…  biar jadi perdana menteri sampai habis penggal, siapa cakap?

“Siapa cakap? PAS cakap, Umno tak cakap. Jadi kita terpaksa ikut PAS. Kita di bawah. Masuk PN, saya tidak bersetuju dengan PN daripada mula, saya cakap terus terang,” tambah beliau. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen