LANGKAH Bersatu untuk bergabung dengan Muafakat Nasional (MN) akan membantu memperkukuhkan Islam dan orang Melayu, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata Bersatu kini dapat membantu dalam mencapai tujuan pembentukan MN iaitu melindungi isu-isu berkaitan hal ehwal Islam dan perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dan Bumiputera.
“PAS juga yakin gandingan parti-parti Umno, PAS dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar ‘Melayu Raya’ sekali gus memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang majmuk.
“PAS menyakini gabungan bersepadu kepimpinan Muafakat Nasional yang akan diterajui oleh Presiden Umno, PAS dan Bersatu merupakan gandingan terbaik untuk menerajui kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PAS dan Umno telah membentuk MN pada 14 September 2019 dengan tujuan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu yang berpecah belah.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata bahawa Bersatu akan bergabung dengan Umno dan PAS di MN.
Dalam satu rakaman video, presiden Bersatu itu mengesahkan spekulasi bahawa parti itu secara rasmi akan menjadi rakan kongsi dalam perjanjian tersebut.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkatata bahawa dia menghantar jemputan kepada Bersatu untuk bergabung dengan MN.
“Namun kita sedang menunggu surat balasan daripada mereka (Bersatu) dan serahkan seluruhnya kepada jawatankuasa Muafakat Nasional untuk memurnikan apa juga kedudukan apabila kini tiga pihak bersama-sama mendokong kerjasama ini,” katanya.
Semalam Annuar Musa berkata Muafakat Nasional bukan gabungan politik berpaksikan Melayu kerana ia sedang berusaha membawa masuk parti pelbagai kaum ke dalam gabungan yang kini disertai Umno, PAS dan Bersatu.
Setiausaha agung Barisan Nasional itu berkata prinsip pelbagai kaum sangat mustahak untuk gabungan itu.
“Setiap parti akan ada identiti kami sendiri, autonomi kami sendiri. Kami akan perkukuhkan MN.
“Selepas tiga parti ini bergabung, kita juga akan membawa masuk parti pelbagai kaum lain kerana MN bukan berpusatkan Melayu,” katanya pada satu majlis penyerahan lesen kepada peniaga di Batu Muda, Kuala Lumpur. – 16 Ogos, 2020.
Komen