MUAFAKAT Nasional bukan gabungan politik berpaksikan Melayu kerana ia sedang berusaha membawa masuk parti pelbagai kaum ke dalam gabungan yang kini disertai Umno, PAS dan Bersatu, kata Annuar Musa.
Setiausaha agung Barisan Nasional itu berkata prinsip pelbagai kaum sangat mustahak untuk gabungan itu.
“Setiap parti akan ada identiti kami sendiri, autonomi kami sendiri. Kami akan perkukuhkan MN.
“Selepas tiga parti ini bergabung, kita juga akan membawa masuk parti pelbagai kaum lain kerana MN bukan ‘Malay centric’ (berpaksikan Melayu),” katanya pada satu majlis penyerahan lesen kepada peniaga di Batu Muda, Kuala Lumpur.
Annuar berkata jemputan kepada parti pelbagai kaum itu akan diterajui Umno, PAS dan Bersatu.
“Semangat dan konsep (MN) adalah pelbagai kaum. Seperti mana bagaimana kita bangunkan negara sebelum ini.”
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata partinya, Bersatu, akan menyertai Umno dan PAS dalam MN.
Presiden Bersatu itu mengumumkan keputusan itu dalam perutusan video kepada ahli, mengesahkan spekulasi yang parti itu secara rasmi akan menyertai gabungan itu.
Annuar berkata mereka diberitahu oleh Muhyiddin pada mesyuarat yang Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sudah membincangkan isu itu dan bersetuju menyertai MN.
“Isu itu juga dibawa kepada Jawatankuasa Pemandu MN yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan dibincangkan secara lisan yang Bersatu sudah memutuskan untuk menyertai MN.
“Mereka sudah setuju dan surat ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga dihantar tiga hari lalu untuk menjemput Bersatu secara rasminya menyertai MN.”
Semalam, Zahid juga mengesahkan beliau sudah menghantar jemputan kepada Bersatu menyertai MN.
“Kami sekarang menunggu jawapan mereka dan saya menyerahkan ini kepada Jawatankuasa Pemandu MN untuk meneliti jawapan mereka dan memutuskan peranan ketiga-tiga parti,” kata Zahid.
Annuar berkata sekarang mereka akan menanti bagaimana kerjasama semua parti dalam MN.
“Kami, BN dan PAS, juga mempunyai memorandum persefahaman. Kami akan tengok perkara ini.
“Dan kemudian kami akan maklumkan (hala tuju). Isu utama adalah untuk buat keputusan (Bersatu sertai MN) boleh dilakukan.
“Isu utamanya adalah rakyat perlukan stabiliti dan pemulihan ekonomi, itulah yang kepimpinan parti patut buat. Itulah yang kami sedang buat.”
Umno, PAS dan Bersatu juga adalah ahli kerajaan Perikatan Nasional yang disokong Gabungan Parti Sarawak, MCA, MIC dan beberapa parti Sabah. – 16 Ogos, 2020.
Komen
Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Saleh ZAKARIA · Ulasan