PAS tak boleh main dua kolam, kata penganalisis


Chan Kok Leong

PAS kini tidak lagi komited kepada Muafakat Nasional dan sedang mengalihkan dukungan kepada PN dan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

PAS tidak lagi boleh “main di dua kolam” tetapi harus memilih mahu antara Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Cadangan Umno mahu segera mendaftarkan MN sebagai gabungan politik adalah untuk menguji parti Islam itu, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

“Umno hendak tengok sejauh mana PAS serius dan komited untuk bersama mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kalau Umno berjaya daftarkan MN, ia akan jadi tonggak dalam gabungan itu dan tidak perlu duduk di bawah PN.”

Menurut Hisomuddin, Umno sudah mula merasakan PAS tidak lagi komited kepada MN dan sedang mengalihkan dukungan kepada PN dan Bersatu, yang boleh menawarkan lebih banyak keuntungan kepadanya.

“Ini menjadikan Umno kurang selesa,” tambahnya.

Biro Politik Umno yang bermesyuarat pada Selasa mengumumkan parti itu menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap PN dan keluar daripada kerajaan, melainkan PN bersetuju dengan syarat baharu.

Syarat baharu kerjasama politik untuk sokongan Umno itu pula perlu dimuktamadkan segera secara bertulis, umum Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ahmad juga mengumumkan mesyuarat itu bersetuju untuk mencadangkan MN didaftarkan segera sebagai gabungan politik.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama MN pada September 2019, ketika dua parti utama Melayu itu menjadi pembangkang.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari, gabungan baharu PN muncul dan mengambil alih Putrajaya.

PAS yang menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu, kemudian perlahan-lahan kelihatan mengubah haluannya.

PAS adalah antara parti penaja penubuhan PN, yang pendaftarannya diluluskan pada awal Ogos. Selain PAS dan Bersatu, gabungan itu disertai secara rasmi oleh dua parti di Sabah iaitu Star dan SAPP.

Menurut Hisomuddin, Bersatu perlukan PAS untuk mengimbangi dominasi Umno.

“Umno tahu Bersatu sudah mendapat sokongan PAS dan sekarang ia mahu parti Islam itu membuat pilihan,” katanya.

Pengajaran dari Sabah

Sementara itu, pensyarah politik Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Umno sudah belajar daripada apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sabah.

“Walaupun Umno mempunyai jumlah kerusi yang banyak sebagai parti berbanding Bersatu, Barisan Nasional (BN) menang kurang kerusi berbanding PN dan akhirnya rugi dari segi jawatan kerajaan,” katanya.

BN menang 14 kerusi, semuanya melalui Umno. PN pula menang keseluruhan 17 kerusi, 11 melalui Bersatu dan 6 melalui Star.

“Ini menyebabkan banyak ahli akar umbi Umno marah terutamanya apabila mereka rasa kemenangan (PN) disebabkan oleh pemimpin dan bekas pemimpin Umno,” tambahnya.

Umno juga katanya tidak rugi apa-apa dengan menarik diri daripada kerajaan kerana parti itu ada pilihan lain iaitu PKR.

Ahli sains politik Prof Dr Wong Chin Huat pula percaya “kekalahan” Umno di Sabah membuka mata parti dan ahli-ahlinya.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama MN pada September 2019, ketika dua parti utama Melayu itu menjadi pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

Beliau mengingatkan bagaimana Umno yang mempunyai tujuh kerusi Parlimen dan 17 kerusi negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akhirnya tinggal satu kerusi masing-masing pada hujung 2018.

Bersatu dapat kebanyakan kerusi itu, lima ahli Parlimen dan lima wakil rakyat negeri, katanya.

“Persaingan untuk di depan tidak berubah sekarang walaupun kedua-dua parti dalam kem yang sama di peringkat persekutuan.

“Sabah ini pertarungan PN-Bersatu melawan BN-Umno, sama seperti Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.

Selepas pilihan raya negeri Sabah, Umno kehilangan enam kerusi yang ditandingi oleh bekas wakil rakyatnya yang menyeberang menyertai Bersatu.

Umno juga kalah di tiga kerusi yang ditandingi bersama dengan PBS dan Star, serta hilang pulang jawatan ketua menteri walaupun menang lebih banyak kerusi berbanding Bersatu.

Umno katanya, takut apa yang berlaku di Sabah akan berulang di Semenanjung dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sebelum Sabah, Umno ingat ia boleh kembali menguasai dan mengetepikan Bersatu.

“Sekarang Umno lebih bimbangkan Bersatu dan nanti diserang oleh PAS, yang lebih dekat dengan Bersatu, dalam pertandingan banyak penjuru sekiranya menentang Bersatu,” katanya. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • PAS berkahwin dgn Umno tetapi sekatil dgn Bersatu. Apa nak jadi dgn parti cam ni????

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh RUDY HARTONO · Ulasan