HONG Kong melancarkan skim ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran hari ini di bawah skim kesihatan yang menjadi topik perbahasan politik yang hangat.
Ujian percuma secara sukarela itu sebahagian daripada usaha untuk mengatasi gelombang jangkitan ketiga yang bermula pada akhir Jun dan menyaksikan bandar yang padat penduduk itu menerapkan semula langkah-langkah penjarakan sosial yang memberi kesan terhadap ekonomi.
Tetapi program ini kurang mendapat sambutan kerana penglibatan firma ujian dan doktor dari China serta kebimbangan awam terhadap pengambilan data serta DNA susulan langkah Beijing mengekang gerakan demokrasi di bandar ini.
Sejak pendaftaran dibuka bermula pada Sabtu seramai 510,000 orang sudah mendaftar - sekitar tujuh peratus daripada 7.5 juta penduduk di bandar ini.
Kira-kira 10,000 orang diuji hari ini, kata ketua bandar Carrie Lam termasuk menteri kerajaan.
“Ini akan membantu Hong Kong keluar dari pandemik tanpa kecederaan dan kondusif untuk memulakan semula kegiatan harian,” katanya kepada wartawan.
Tetapi pakar kesihatan berkata seramai lima juta orang mungkin perlu diuji untuk mengetahui secara menyeluruh penyebaran tersembunyi dan menamatkan gelombang terkini.
Hong Kong mencatatkan lebih 4,800 jangkitan sejak virus pertama kali dikesan di bandar itu pada akhir Januari tetapi sekitar 75 peratus dikesan sejak awal Julai.
“Saya melakukan ini untuk diri dan orang lain,” kata Winnie Chan, seorang ibu berusia 30-an kepada AFP ketika memasuki pusat ujian.
“Saya yakin dan menyokong dasar kerajaan,” katanya.
Manakala yang lain berkata mereka tidak mempunyai rancangan untuk mendaftar.
“Saya rasa itu membuang masa.
“Kerajaan tidak dapat meyakinkan saya mengenai keberkesanan program saringan berkenaan,” kata Emily Li kepada AFP. – AFP, 1 September, 2020.
Komen