AS kenakan sekatan terhadap pemimpin Hong Kong


AS mengenakan sekatan terhadap Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam dan sepuluh pegawai atasan lain. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2020.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam mengenakan sekatan terhadap Ketua Eksekutif Carrie Lam dan sepuluh lagi pegawai atasan Hong Kong, dalam langkah terkini menentang undang-undang keselamatan ke atas wilayah itu.

Semua aset Lam dan sepuluh yang lain di AS disekat, dan sebarang urusan kewangan mereka tidak akan disahkan.

“AS berdiri bersama-sama rakyat Hong Kong dan akan menggunakan kuasa kami mensasarkan individu yang menggugat auntonomi mereka,” kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.

Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata tindakan AS itu susulan Beijing melanggar perjanjian autonomi dengan Hong Kong sebelum Britain menyerahkan wilayah itu kepada China pada 1997.

“Ini mesej jelas bahawa tindakan pihak berkuasa Hong Kong tidak boleh diterima dan bertentangan dengan idea ‘satu negara, dua sistem’ Republik Rakyat China (PRC) dan Deklarasi Bersama Sino-British,” kata Pompeo.

Jabatan Perbendaharaan AS berkata Lam secara langsung bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar Beijing yang menindas kebebasan dan demokrasi.

Selain Lam, antara pegawai kanan lain yang dikenakan sekatan termasuk Pesuruhjaya Polis Hong Kong Chris Tang dan Pengarah Pejabat Perhubungan Beijing di Hong Kong Luo Huining. – AFP, 8 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen