KETUA Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) Carrie Lam hari ini berkata pihak kerajaan akan memperkenalkan pelbagai langkah untuk membantu perniagaan dan penduduk susulan keadaan ekonomi yang semakin suram, lapor agensi berita Xinhua.
Data mendedahkan negara berdepan keadaan ekonomi yang malap, kerajaan HKSAR akan memantau rapi keadaan itu dan akan melaksanakan langkah-langkah bantuan baharu tidka lama lagi, kata Lam pada sidang akhbar.
Walaupun terdapat kemungkinan defisit fiskal dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, sudah tiba masanya kerajaan HKSAR menggunakan sepenuhnya kekayaan dan kelebihan sedia ada untuk mengurangkan beban penduduk, kata Lam.
Kerajaan HKSAR telah memperuntukkan kira-kira 20 bilion dolar Hong Kong (US$2.55 bilion) sejak Ogos untuk meningkatkan ekonomi.
Rusuhan yang berpanjangan telah menjejaskan ekonomi menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun 2.9 peratus dari tahun ke tahun pada suku ketiga.
Jualan runcit pada Oktober pula menyusut 24.3 peratus berbanding tahun lalu, rekod penurunan terbesar. Kadar pengangguran meningkat kepada 3.1 peratus dan kemungkinan akan meningkat lagi.
Lam berharap rusuhan akan berakhir secepat mungkin untuk memberi peluang kepada ekonomi untuk pulih.
Beberapa daerah di Kowloon kembali dalam keadaan huru-hara pada hujung minggu apabila perusuh menguasai semula tempat-tempat awam selain bertindak membakar serta merosakkan kemudahan awam dan menghalang lalu lintas. – Bernama, 3 Disember, 2019.
Komen