PEMIMPIN Hong Kong hari ini menuduh AS mengamalkan “sikap pilih kasih” dalam tindakan balas terhadap protes ganas dan memberi amaran yang rancangan Washington mengenakan sekatan perdagangan ke atas pusat kewangan itu hanya akan “menyakiti dirinya sendiri”.
Bandar semi autonomi itu digegarkan protes yang kerap bertukar ganas dianjurkan kumpulan pro demokrasi sejak tahun lepas, dengan polis anti rusuhan menahan lebih 9,000 orang penunjuk perasaan.
Washington berulang kali mengecam tindakan balas Hong Kong terhadap protes itu, dengan Presiden AS Donald Trump minggu lepas berikrar menamatkan status perdagagan khas dinikmati wilayah itu selepas Beijing mengumumkan rancangan melaksanakan undang-undang keselamatan nasional sepenuhnya di situ.
Hari ini, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam berkata tindakan itu hanya akan menyusahkan AS ketika mengulas tindak balas pentadbiran Trump terhadap protes ganas yang kini berlaku di seluruh AS.
“Sejak beberapa minggu lepas kita menyaksikan dengan jelas sikap pilih kasih,” kata Lam yang dipilih sebagai pemimpin wilayah itu oleh jawatankuasa pro Beijing, kepada wartawan.
“Anda tahu rusuhan di AS, dan bagaimana kerajaan tempatan bertindak balas. Dan (rusuhan) di Hong Kong, kita ada rusuhan yang serupa, kita nampak yang pendirian yang mereka (AS) ambil ketika itu.”
Pegawai China dan Hong Kong mengambil kesempatan situasi kucar kacir di AS untuk mempromosi propoganda menjustifikasikan penindasan terhadap protes pro demokrasi serta rancangan undang-undang keselamatan nasional.
Minggu lepas, Parlimen Hong Kong yang dipengaruhi China meluluskan undang-undang yang menghukum pemisahan, cabaran kuasa negara, keganasan dan tindakan yang dianggap mengancam keselamatan nasional- serta membenarkan agensi keselamatan China beroperasi secara terbuka di Hong Kong.
Beijing berkata akta anti subversi itu yang akan diluluskan oleh legislatif Hong Kong adalah keperluan untuk mengatasi “keganasan” dan “pemisahan”.
Pengkritik bimbang ia akan membawa sistem pemerintahan penindasan gaya tanah besar ke pusat kewangan dunia yang menjamin kebebasan dan autonomi selama 50 tahun selepas Britain menyerahkannya semula kepada China pada 1997. – AFP, 2 Jun, 2020.
Komen