Tanggungjawab pemimpin pertahankan Perlembagaan, kata timbalan presiden Umno


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan menyeru semua rakyat terutama pemimpin pertahan Perlembagaan dan Rukun Negara, ketika ada kontroversi pematuhan undang-undang melibatkan menteri Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

TIADA mana-mana pemimpin boleh mengatasi undang-undang, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, ketika seorang menteri dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mencetuskan kontroversi setelah didakwa melanggar peraturan kuarantin wajib membendung pandemik Covid-19.

Katanya, semua rakyat – lebih-lebih lagi pemimpin – bertanggungjawab mempertahankan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, khususnya keluhuran dan kedaulatan undang-undang.

Tanggungjawab itu pula, jelasnya, adalah tugas utama pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya apabila mengangkat sumpah menerima jawatan.

“Di sisi undang-udang, pemimpin tidak sedikit pun berada dalam kedudukan yang lebih istimewa apatah kebal berbanding rakyat biasa. Sebaliknya, mereka memikul amanah yang lebih besar dan berat.

“Jika pemimpin gagal melaksanakan piawai kepatuhan yang dituntut ke atas mereka, akan cacat, terencat dan susutlah kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan parti pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad, pemimpin mesti menunjukkan watak yang seiring dengan kemajuan rakyat dan negara.

“Mereka yang memimpin Malaysia mesti membuktikan pemikiran, tindakan dan sikap mereka adalah nilai dan karakter yang sesuai serta selari dengan kemajuan masyarakat dan negara kita.

“Malaysia abad ke 21 sudah jauh berbeza,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas menteri PAS Mohd Khairuddin Aman Razali yang dipercayai melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Katanya, kerajaan memandang serius kes tersebut dan tiada sesiapapun terlepas daripada undang-undang, katanya merujuk perintah kuarantin itu yang dikuatkuasa untuk membendung penularan Covid-19.

Sehari sebelum itu, pihak polis mengumumkan kertas siasatan sudah dibuka terhadap Khairuddin, yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tindakan Khairuddin melanggar kuarantin wajib mendapat perhatian umum dan diulas oleh Kementerian Kesihatan selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membangkitkannya di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Kementerian Kesihatan minggu lalu mengesahkan Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos.

Kenyataan Kementerian Kesihatan itu bagaimanapun menambah kontroversi kerana pada 19 Ogos lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes itu sedang disiasat.

Khairuddin kemudian meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri sebagai derma untuk Tabung Covid-19.

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun melihat gaji empat bulan itu tidak boleh menutup kesalahan Khairuddin.

Pemimpin PAS sementara itu mempertahankan Khairuddin dengan alasan antaranya walaupun tidak menjalani kuarantin, menteri itu tidak mendatangkan bahaya menularkan Covid-19. – 25 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen