Jangan tutup isu langgar kuarantin dengan 4 bulan gaji, kata pembangkang


Mohd Farhan Darwis

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kesalahan menteri PAS melanggar perintah kuarantin tidak boleh hanya ditutup dengan memulangkan empat bulan gaji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2020.

KESALAHAN menteri PAS melanggar perintah kuarantin wajib tidak boleh hanya ditutup dengan memulangkan empat bulan gaji, kata bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian bagi menggiatkan tekanan ke atas menteri komoditi dan perladangan, Mohd Khairuddin Aman Razali yang menjadi topik perbincangan utama dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dzulkefly berkata sebagai pemimpin, Khairuddin seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik dan tidak cuba menutup isu tersebut dengan derma wang ringgit.

“Jangan cuba untuk membayar dengan empat bulan gaji. Ini bukan isunya, (soalnya) maruah menteri yang sedar langgar peraturan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau pimpinan tak memulakan jangan harap rakyat akan mematuhi SOP kerana mereka lihat pimpinan yang senang-senang dilepaskan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.

Katanya, menteri tersebut tidak sepatutnya mudah terlepas dengan hanya kompaun RM1,000 sedangkan rakyat jelata dituduh dan dikenakan hukuman berat bagi kesalahan sama.

“Jangan rakyat saja dituduh dan kecam pimpinan politik dilepaskan begini mudah,” kata Dzulkefly.

Isu sama dibangkitkan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Khalid Samad (Shah Alam), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Kelvin Yii Lee (Bandar Kuching) semasa perbahasan.

Mereka turut mempersoalkan kadar kompaun RM1,000 yang dikenakan kepada Khairuddin dan membandingkannya dengan kompaun yang lebih tinggi dikenakan kepada rakyat.

Khairuddin bagaimanapun dipertahankan Ahli Parlimen Umno, Aziz Rahim (Baling) yang mendakwa pemimpin PAS itu membawa masuk pelaburan ke dalam negara.

Ia hasil daripada lawatan Khairuddin ke Turki bulan lalu, sebelum menteri itu melanggar perintah kuarantin wajib apabila pulang ke tanah air, katanya.

KKM pada minggu lalu menyatakan, Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos – sebulan selepas pulang dari Turki – dan sudah menjelaskannya.

Kenyataan itu timbul beberapa hari selepas kementerian menyatakan akan menyiasat dakwaan bahawa Khairuddin tidak menjalani kuarantin wajib.

Kadar denda rendah itu menimbulkan kritikan pelbagai pihak termasuk dari kalangan pemimpin parti Perikatan Nasional yang mahu Khairuddin meletak jawatan.

Khairuddin seterusnya semalam mengumumkan akan memulangkan sebahagian wang gajinya untuk dimasukkan ke dalam tabung bencana Covid-19.

Sekiranya dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara lebih daripada setahun, Khairuddin berisiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Seorang wanita warga emas yang melanggar perintah sama dipenjara sehari dan didenda RM8,000 pada 14 Ogos kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian ketika tempoh kuarantin wajib.

Beliau ditangkap selepas menjamu selera di sebuah restoran semasa tempoh kuarantin. Sehari sebelumnya, seorang pemilik restoran nasi Kandar dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000.

Lelaki 57 tahun itu juga didapati bersalah ke atas pertuduhan mengingkari perintah pengawasan dan pemerhatian dalam tempoh kuarantin wajib.

Beliau juga didapati mencetuskan rantaian baharu jangkitan di kalangan pengunjung dan pekerja kedai makan itu yang dikenali sebagai kluster Sivagangga.

Khairuddin pula dilaporkan menghadiri pelbagai acara dan menemui ramai individu sebaik pulang dari Turki, termasuk menghadiri sidang Parlimen dan acara di Istana Negara bersama Yang di-Pertuan Agong.

Menurut KKM, kompaun RM1,000 ke atas Khairuddin merupakan kadar maksimum yang boleh dikenakan kementerian ke atas menteri itu.

Bagaimanapun polis masih menyiasat kes berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – 24 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen