Polis siasat menteri PAS ingkar kuarantin, kata KPN 


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2020.

KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lepas.

“Polis telah membuka fail siasatan terhadap kes ini,” katanya dalam jawapan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp kepada Bernama TV hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid, sebanyak 27 laporan polis telah diterima berhubung perkara berkenaan setakat ini.

“Pihak polis melakukan siasatan terhadap Mohd Khairuddin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan media memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas, atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mohd Khairuddin telah menjelaskan kompaun itu.

Mohd Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif. Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki. 

Ekoran itu, Mohd Khairuddin yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS, telah dikritik banyak pihak kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa, khasnya mengingkari arahan kuarantin bagi mana-mana warganegara Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Mohd Khairuddin pula memberitahu beliau akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19). – Bernama, 23 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen