Lepas didenda RM1,000, Khairuddin derma gaji ke tabung Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali didenda RM1,000 kerana melanggar perintah kuarantin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020.

SELEPAS didenda RM1,000 kerana melanggar perintah kuarantin, Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali mengumumkan untuk mendermakan gajinya dari Mei hingga Ogos untuk tabung Covid-19.

Sambil memohon maaf atas kesilapannya, Dr Khairuddin berkata sebagai menteri beliau bertanggungjawab untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Bagi menunjukkan tanggungjawab ini, saya akan memulangkan gaji saya sebagai menteri dari Mei hingga Ogos 2020 untuk tabung Covid-19 di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Khairuddin berkata beliau tidak menyatakan bahawa beliau sudah membayar kompaun tersebut.

Bagaimanapun kenyataannya beliau hari ini selari dengan sebuah kenyataan kementerian hari ini bahawa beliau telah membayar kompaun pada 7 Ogos.

Beliau berkata gaji bulan Mac dan April telah didermakan ke tabung sama susulan keputusan Kabinet.

Gaji menteri dilaporkan berjumlah RM14,907.20.

Pada Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa ahli Kabinet termasuk dirinya perlu mendermakan dua bulan gaji ke tabung itu.

Khairuddin juga berikrar untuk terus bekerja keras dan meningkatkan usaha bagi memastikan kementeriannya menjalankan tugas dalam memastikan semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam industri perladangan dan komiditi mendapat manfaat dan kebajikan mereka terjaga.

Awal hari ini Kementerian Kesihatan mengenakan kompaun bernilai RM1,000 terhadap Khairuddin kerana melanggar peraturan kuarantin.

Tindakan kementerian terhadap Khairuddin yang juga ahli Parlimen PAS itu diumumkan selepas kecaman bertalu-talu diterima kerajaan di media sosial.

Dalam satu kenyataan ringkas, Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa kompaun itu dikenakan terhadap Khairuddin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 7 Ogos.

Kementerian menjelaskan bahawa Khairuddin telah pun membayar kompaun RM1,000 tersebut.

“YB Dato Dr Khairuddin telah pulang dari Turki pada 7 Julai 2020. Sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif. 

“Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

“Oleh kerana YB Dato Dr Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000.00 kepada YB Dato Dr Khairuddin pada 7  Ogos 2020 dan beliau telah menjelaskan kompaun tersebut,” kata kenyataan tersebut.

Khairuddin dituduh tidak mematuhi kuarantin 14 hari wajib selepas beliau kembali dari Turki bulan lalu, seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun Khairuddin berkata bahawa beliau menjalani ujian Covid-19 tiga kali sejak perjalanannya, dan terbaru pada 17 Ogos.  – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen