Menteri PAS kena kompaun RM1,000 kes langgar kuarantin


Ragananthini Vethasalam

Kompaun itu dikenakan terhadap Khairuddin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 7 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan mengenakan kompaun bernilai RM1,000 terhadap Menteri Perusahaan Perladangan, dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, kerana melanggar peraturan kuarantin.

Tindakan kementerian terhadap Khairuddin yang juga ahli Parlimen PAS itu diumumkan selepas kecaman bertalu-talu diterima kerajaan di media sosial.

Dalam satu kenyataan ringkas, Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa kompaun itu dikenakan terhadap Khairuddin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 7 Ogos.

Kementerian menjelaskan bahawa Khairuddin telah pun membayar kompaun RM1,000 tersebut.

“YB Dato Dr Khairuddin telah pulang dari Turki pada 7 Julai 2020. Sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif. 

“Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

“Oleh kerana YB Dato Dr Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000.00 kepada YB Dato Dr Khairuddin pada 7  Ogos 2020 dan beliau telah menjelaskan kompaun tersebut,” kata kenyataan tersebut.

Khairuddin dituduh tidak mematuhi kuarantina 14 hari wajib selepas beliau kembali dari Turki bulan lalu, seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Nasional.

Bagaimanapun Khairuddin berkata bahawa beliau menjalani ujian Covid-19 tiga kali sejak perjalanannya, dan terbaru pada 17 Ogos.

Sebelum ini, ahli Parlimen DAP Teresa Kok mendedahkan Khairuddin tidak menjalani kuarantin mengikut ketetapan kementerian ketika beliau kembali dari Turki.

Teresa berkata Majlis Keselamatan Nasional tidak boleh mengamalkan “double standard” dalam menguatkuasakan undang-undang, dan mesti mendakwa Khairuddin di mahkamah kerana tidak menjalani kuarantin.

Pendedahan itu susulan Khairuddin yang dilihat menghadiri Parlimen pada 13 Julai lalu.

“Rakyat Malaysia dan warga asing yang memasuki negara ini dikuarantin selama 14 hari walaupun setelah diuji negatif Covid-19.

“Mengapa ada keistimewaan sedemikian untuk menteri,” tanya beliau dalam satu kenyataan tiga hari lalu.

Awal hari ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan adakah Khairuddin layak menjadi menteri Kabinet selepas beliau melanggar peraturan kuarantin.

Setiausaha agung DAP itu juga berkata menteri dari PAS itu angkuh dan tidak bertanggungjawab.

“Khairuddin bukan sahaja enggan mengaku salah malah tindakan beliau yang mengelak dan menolak tanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan menunjukkan sifat angkuh dan tidak bertanggungjawab. 

“Malah beliau memberi alasan dengan menyatakan bahawa, hakikat beliau telah dibenarkan masuk ke istana pada 17 Ogos menjadi bukti beliau telah diuji negatif untuk Covid-19,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Khairuddin sepatutnya mencontohi Yang di-Pertuan Agong kerana menjalani kuarantin rumah selepas kakitangan Istana Negara diuji positif Covid-19.

“Jika Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai imuniti undang-undang boleh mengikuti protokol keselamatan tersebut, mengapa tidak Khairuddin? 

“Adakah Khairuddin berasa beliau mempunyai status istimewa?,” soalnya.

Bekas menteri kewangan itu berkata hasil ujian saringan Khairuddin tidak menjadi isu utama, sebaliknya penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah.

“Khairuddin masih gagal memahami bahawa keputusan ujian negatif beliau bukanlah isu utama. Jika hasil ujian positif pastilah beliau sudah berada di hospital dan tidak akan ada masalah selanjutnya.

“Isunya ialah mengapa beliau dan keluarga tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari. Ini jelas suatu tindakan penguatkuasaan undang-undang pilih kasih di mana menteri bebas, sedangkan rakyat biasa ditahan, digari dan didenda,” tambah Lim. – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen