BUKU yang memaparkan jata negara yang diubah suai diharamkan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.
Kenyataan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menyatakan pengharaman itu dibuat mengikut subseksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membolehkan menteri mengeluarkan arahan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.
Perintah menyatakan “pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan” adalah “dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia” kerana ia “mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara”.
Buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” menjadi tumpuan ramai apabila muka kulitnya yang memaparkan jata negara yang diubah suai dikecam hebat.
Pemuda Umno malah mendakwa ia sengaja dibuat untuk menghina lambang kedaulatan negara.
“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara,” kata Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki.
Buku itu adalah koleksi esei oleh pemikir dan wartawan terkemuka negara berkaitan perubahan landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Ia diterbitkan oleh Gerak Budaya Sdn Bhd, yang menafikan grafik buku itu berniat menghina lambang kedaulatan negara.
Malah, buku itu sudah mula dijual sejak enam bulan lepas sebelum kontroversi tercetus dan gambar jata negara ubah suai itu pernah digunakan dalam pameran sebelum ini.
“Kedai kami akan terus menjual buku itu hingga ia diharamkan secara rasmi. Kami tidak ada niat langsung menghina jata negara.
“Kami pernah guna lukisan itu dalam pameran sebelum ini dan tidak ada masalah daripada pihak berkuasa,” kata Pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin.
Polis sudah menyerbu Gerak Budaya bagi membantu siasatan
“Siasatan mendapati 1,000 buku dicetak dengan 313 buku masih disimpan manakala 687 sudah dijual secara dalam talian.
“Kita sekarang dalam proses untuk meneliti kandungan buku itu dan sudah mengenal pasti individu yang mereka kulit buku.
“Selepas meneliti barulah mereka ini akan dipanggil membantu siasatan dan tangkapan akan dibuat jika perlu,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed, semalam.
Siasatan itu bagaimanapun dikecam kumpulan hak Lawyers for Liberty yang menyifatkan ia tidak perlu dan satu “kontroversi buatan”.
Kumpulan hak asasi undang-undang itu berkata tidak ada undang-undang terhadap persembahan seni kepada jata negara, kerana Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 hanya melarang penggunaan jata negara tanpa kebenaran bertulisan daripada menteri.
“Ia tidak menghalang sebarang persembahan seni yang diinspirasikan daripada jata negara, seperti digunakan pada kulit buku, kerana tidak ada orang yang akan tersilap dengan jata negara sebenar,” kata LFL. – 1 Julai, 2020.
Komen