Pemuda Umno tuntut haram buku kerana imej mirip jata negara


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Duduki tuntut kerajaan mengharamkan sebuah buku dengan kulit memaparkan imej jata negara diubahsuai yang didakwa menghina lambang kedaulatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2020.

PEMUDA Umno menuntut kerajaan mengharamkan sebuah buku dengan kulit memaparkan imej jata negara diubahsuai yang didakwa menghina lambang kedaulatan negara.

Ketua pergerakan itu Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa demikian dengan merujuk imej kulit buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”.

“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara,” katanya di Facebook semalam.

Beliau seterusnya menggesa tindakan dikenakan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016 bagi perbuatan itu.

Undang-undang itu memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar,  katanya.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pula dalam satu kenyataan berkata beliau mengarahkan tindakan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963).

Katanya perbuatan meniru lambang serupa jata negara merupakan satu kesalahan mengikut peruntukan itu.

“Saya telah arahkan PDRM untuk siasat dan ambil tindakan yang tegas dengan segera.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Bukit Aman dilaporkan mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan penghinaan ke atas jata negara di kulit buku tersebut dan akan memanggil individu terlibat.

Laporan The Star menyebut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Faridalathrash Wahid berkata laporan itu melibaktan pengarang, editor dan juga penerbit buku tersebut.

“Buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” diterbitkan syarikat Gerak Budaya dan dijual di laman syarikat tersebut dengan harga RM45.

Maklumat promosi di laman tersebut menyatakan buku tersebut yang diterbitkan tahun ini antara lain memaparkan analisis dan laporan berkait pilihan raya umum 2018.

Mengulas tuntutan Asyraf, seorang artis grafik Fahmi Redza pula berkata tuntutan pengharaman itu sengaja dilakukan untuk memperbesar-besarkan isu perkauman.

Katanya, isu tersebut sengaja ditimbulkan kerana penerbit Gerak Budaya seorang bangsa Cina dan buku itu pula diterbitkan sewaktu Pakatan Harapan masih menguasai kerajaan.

Fahmi seterusnya membandingkan sikap berbeza sewaktu sebuah lagi buku diterbitkan pada 2011, yang juga memaparkan imej jata negara diubahsuai.

“Ini rekaan buku yang diterbitkan tahun 2011 masa zaman BN. Tak kecoh pun dulu,” katanya di Twitter.

Beliau berkata demikian dengan menyertakan gambar kulit buku Rojak Fakta Malaysia: Butiran Fakta, Angka, Ungkapan dan Anekdot Menarik terbitan ZI Publications. – 29 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen