Polis serbu syarikat penerbit buku isu Jata Negara


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengarah JSJ Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata pihaknya sedang meneliti kandungannya dan sudah mengenal pasti individu yang mereka kulit buku berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Ab Halim, 30 Jun, 2020.

POLIS Bukit Aman menyerbu satu syarikat di Petaling Jaya yang dikaitkan dengan penerbitan sebuah buku memaparkan imej mirip Jata Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, serbuan dijalankan pada pukul 3 petang tadi.

“Siasatan mendapati 1,000 buku dicetak dengan 313 buku masih disimpan manakala 687 sudah dijual secara dalam talian.

“Kita sekarang dalam proses untuk meneliti kandungan buku itu dan sudah mengenal pasti individu yang mereka kulit buku.

“Selepas meneliti barulah mereka ini akan dipanggil membantu siasatan dan tangkapan akan dibuat jika perlu,” katanya di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, setakat ini polis menerima 32 laporan berhubung buku terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Semalam, polis berkata akan memanggil individu yang dikaitkan dengan penerbitan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Terdahulu tular di media sosial berhubung sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ disunting oleh penulis, Kean Wong yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen