Usul tukar speaker cubaan Muhyiddin lengahkan masa, kata ahli Parlimen


Chan Kok Leong

Pada Mei lalu, Muhyiddin Yassin [atahkan cubaan Dr Mahathir Mohamad kemuka usul tidak percaya di Dewan Rakyat dengan menukar agenda pada minit akhir dan ganti setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2020.

MUHYIDDIN Yassin melalui tempoh sukar sejak menjadi perdana menteri selepas peralihan kerajaan pada Mac lalu.

Jika bukan disebabkan pandemik Covid-19 dan kesan terhadap ekonomi, presiden Bersatu itu mungkin berdepan persoalan tentang sokongan daripada ahli Parlimen.

Pada Mei, Muhyiddin terpaksa mematahkan cubaan Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul tidak percaya di Dewan Rakyat dengan menukar agenda pada minit akhir dan menggantikan setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat.

Malah pada minggu lalu, beliau mengemukakan usul untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusoff dan Timbalan Speaker Nga Kor Ming.

“Ini adalah usaha untuk menunjukkan beliau mempunyai majoriti di Parlimen,” kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, merujuk kepada usul Muhyiddin.

“Tetapi beliau mengambil risiko politik yang tinggi keraja jika beliau gagal untuk mendapat majoriti menukar Speaker, ia bermakna beliau tidak memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Mengikut konvensyen Parlimen, beliau mesti meletakkan jawatan. Tetapi ia akan menjadi ujian yang menarik,” kata Tunku Mohar.

Selain undi tidak percaya, undi Belanjawan dan usul untuk speaker boleh menjadi pengukur tahap sokongan kerajaan di Parlimen.

Walaupun kekalahan di Dewan Rakyat tidak bererti kerajaan akan tumbang segera, tetapi ia menandakan kekuatan pemerintah.

Situasi Muhyiddin dibayangi dengan dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional tidak dipilih semasa pilihan raya 2018 tetapi dibentuk pada Februari setelah pembelotan Mohamed Azmin Ali dan Bersatu keluar Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad percaya Muhyiddin cuba melengahkan masa di sebalik gesaan pemimpin parti dalam Perikatan Nasional untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.

“Beliau tidak mahu menjadi perdana menteri paling singkat selepas terlibat dalam pengambil alihan kerajaan pada Februari lalu.

“Beliau juga tidak mahu rakyat mengingatinya kerana gagal membuktikan mempunyai sokongan cukup dan mengkhianati mandat asal rakyat,” kata Noor Amin.

Beliau berkata tindakan Muhyiddin menggantikan Ariff dan Nga hanya jalan untuk melengahkan masa kerana Bersatu tidak bersedia menghadapi pilihan raya lebih awal.

“Bersatu dan kem Mohamed Azmin tidak jelas tidak bersedia menghadapi pilihan raya kerana asas mereka masih belum kuat atau selesai membahagikan kerusi dengan Umno dan PAS.

“Ini masa yang tepat buatnya untuk menyelesaikan isu-isu ini dan mendapat lebih masa kerana ia akan memberi kesan besar kepada pembangkang jika beliau memperoleh cukup undi bagi menggantikan ppeaker,” kata pemimpin PKR itu.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata Muhyiddin tidak mempunyai pilihan selain menggantikan Ariff yang kurang melakukan kesilapan sejak menjadi speaker Dewan Rakyat pada 2018.

“Muhyiddin mungkin rasa ini masa yang sesuai kerana pembangkang dibayangi isu calon perdana menteri.”

Senator dan pakar strategi DAP Liew Chin Tong berharap Muhyiddin menjelaskan sebab beliau mahu menggantikan Ariff.

“Saya amat terkejut dengan keputusan untuk menukar speaker dan timbalan speaker.

“Adakah beliau amat yakin mempunyai majoriti? Adakah undi ini akan membayangkan undi percaya kepada Muhyiddin?” – 29 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen