Putrajaya ganti setiausaha Dewan Rakyat


Chan Kok Leong

Riduan Rahmat menyertai Parlimen pada 1989 dan menjadi setiausaha Dewan Negara sejak September 2014 sebelum pelantikannya di Dewan Rakyat. – Gambar Facebook, 14 Mei, 2020.

KERAJAAN menggantikan Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dengan seorang pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, kata sumber kepada The Malaysian Insight.  

Riduan yang dilantik sebagai Setiausaha Dewan Rakyat pada Februari lalu diganti sehari selepas beliau menghantar notis kepada semua ahli Parlimen mengenai perubahan agenda untuk persidangan pada 18 Mei.  

Kenyataan daripada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof kemudian mengesahkan pelantikan Nizam Mydin Bacha Mydin sebagai pengganti Riduan.

Sementara itu, Riduan dilantik sebagai setiausaha pentadbiran di Dewan Negara.

Bagaimanapun tidak ada alasan kenapa beliau dipindahkan semula ke Dewan Negara tidak sampai tiga bulan selepas dilantik ke Dewan Rakyat. 

Sebelum itu Riduan menghantar notis mengenai persidangan 18 Mei, di mana beliau berkata perdana menteri memberitahu Parlimen bahawa persidangan itu hanya terhad kepada titah diraja. 

Bahkan masalah kerajaan mengenai pembiayaan untuk pakej mitigasi Covid-19 tidak ada dalam agenda, tidak seperti notis yang pertama kali dikeluarkan kepada ahli Parlimen pada 17 April.

Dengan perubahan agenda berkenaan Perikatan Nasional tidak perlu lagi berdepan kemungkinan untuk membahaskan usul tidak percaya Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada 8 Mei Parlimen mengumumkan bahawa usul Dr Mahathir sudah diterima.

Riduan, 55, yang merupakan bekas setiausaha Dewan Negara menggantikan setiausaha Dewan Rakyat terdahulu Roosme Hamzah pada 22 Februari.

Roosme bersara setelah lanjutan kontrak selama setahun tamat pada Februari selepas berkhidmat sebagai setiausaha sejak 2007.

Riduan menyertai Parlimen pada 1989 dan menjadi setiausaha Dewan Negara sejak September 2014 sebelum pelantikannya di Dewan Rakyat.

Walaupun Parlimen adalah cabang pemerintahan ketiga, semua fungsi pentadbiran, belanjawan dan kakitangan diputuskan oleh kerajaan pusat.

The Malaysian Insight menghubungi Riduan dan pejabat Parlimen untuk mendapatkan pengesahan. – 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen