Kedai gunting akan buka balik selepas 9 Jun, kata persatuan


Diyana Ibrahim

Tukang gunting dan pendandan rambut dijangka beroperasi semula secara bersyarat selepas 9 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

PUTRAJAYA dijangka akan membenarkan tukang gunting dan pendandan rambut beroperasi semula secara bersyarat selepas 9 Jun ini, kata beberapa persatuan perniagaannya, lebih dua bulan setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) memaksa mereka tutup kedai.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, selepas siri perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan, mereka kini “hanya menunggu lampu hijau” untuk kembali beroperasi.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat mereka dengan kerajaan pada Rabu lepas, kata Presiden Pertubuhan Kemahiran Pembangunan Penggaya Rambut Profesional, Khaljaksa Amin.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjanji keputusan ini akan diumum pada 9 Jun ini.

“Kita pun sudah dapat surat balasan dari MITI. Surat kita juga sudah sampai pada Perdana Menteri, dan tunggu pengumuman 9 Jun ini,” katanya.

Pertemuan pada Rabu lalu antara lain membincangkan garis panduan melarang kedai gunting dan dandan rambut daripada menerima pelanggan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan warga emas 80 tahun ke atas, tambahnya.

Timbalan Presiden Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan (PJRISWP) Akilan Anandakrisnan pula yakin kerajaan kali ini akan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula.

“Ya, kita sedang tunggu. Untuk pemilik tukang gunting rambut, kita sebenarnya sudah arif dengan garis panduan, kita sudah faham ciri- ciri keselamatan.

“Sekarang ini kita tunggu apa kerajaan suruh untuk garis panduan dan kita akan bersedia,” katanya.

Antara garis panduan itu, kata Akilan, termasuk mensyaratkan pemilik kedai gunting merekodkan butiran pelanggan serta bacaan suhu, dan mewajibkan pemakaian pelitup muda dan sarung tangan.

Sebahagian syarat itu sama dengan syarat yang dikenakan ke atas perniagaan lain yang dibenarkan beroperasi sejak PKP mula dilonggar bermula 4 Mei lalu.

Bermula 4 Mei lalu, di bawah pelaksanaan perintah kawalan bersyarat (PKPB), kerajaan melonggarkan sekatan ke atas majoriti sektor ekonomi kecuali antaranya kedai gunting rambut dan salon dandanan rambut.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan pemilik kedai gunting rambut dan salon dandanan meminta Putrajaya mengeluarkan garis panduan untuk mereka menyambung semula operasi selepas PKP dilonggarkan secara bersyarat.

Putrajaya sebelum ini memasukkan kedai gunting rambut dalam senarai perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula semasa fasa ketiga PKP, bermula 14 April.

Beberapa persatuan kedai gunting dan pendandan rambut bagaimanapun pada masa itu belum begitu yakin keadaan sudah selamat dan tidak selesa untuk beroperasi semula.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata PKP pada fasa ketiga sepatutnya diperketatkan, dan bukan dilonggarkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India (Mihass), Mohd Jaafar Salim Thamby yakin ada peluang sangat tinggi kedai gunting rambut akan dibenar beroperasi semula bulan depan.

“Hampir 70 % kita boleh katakan mungkin kedai akan dibenarkan beroperasi semula, hasil dari pertemuan lepas.

“SOP untuk kedai gunting rambut juga telah diluluskan, cuma sekarang yang kita tunggu ialah kelulusan dokumen sokongan dari Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Jelas Mohd Jaafar, kerajaan bimbang akan wujud kluster jangkitan Covid-19 dari kedai gunting rambut memandangkan bilangan tukang gunting dan penggaya rambut yang berjumlah lebih kurang 100,000 di seluruh Malaysia.

“Kerajaan juga minta data untuk tahu jumlah untuk penggaya rambut/ tukang gunting rambut, sebab mereka terlalu ramai hampir 100,000 orang, jadi risiko sangat tinggi.

“Jadi kerajaan cakap kalau tidak boleh semua pun, mungkin hanya separuh saja dibenarkan beroperasi. Maksudnya hanya yang berdaftar dengan persatuan saja,” katanya.

Ditanya reaksi persatuan jika kerajaan tidak membenarkan mereka beroperasi semula, Mohd Jaafar berharap kerajaan menawarkan juga jalan penyelesaian untuk membantu pengusaha.

“Kita memang faham dan tahu risiko sangat tinggi, tapi masalah pengusaha ini satu… kami sangkut untuk bayar sewa,” katanya.

Memberikan contoh dirinya sendiri, Mohd Jaafar berkata beliau perlu menyediakan RM6,000 untuk sewa dua kedai gunting rambut miliknya yang sekarang tidak boleh dibuka kerana sekatan kerajaan.

“Kalau kerajaan masih tidak benarkan, harap akan ada jalan penyelesaian untuk bantu,” katanya. – 31 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen