PERKHIDMATAN gunting rambut tidak wajar jadi keperluan sekarang kerana yang lebih mustahak pada masa ini ialah memastikan Covid-19 tidak terus menular, kata Persatuan Pendandan Rambut Malaysia.
Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan adalah untuk menjaga nyawa rakyat, katanya.
“Memotong rambut tidak seharusnya disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu, tidak kira rambut panjang atau pendek, yang paling penting sekarang ialah untuk terus kekal hidup.
“Tujuan perintah kawalan pergerakan ialah untuk menyelamatkan nyawa, bukannya penampilan,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Persatuan itu juga sudah menjalan satu kaji selidik dalam kalangan ahlinya. Kajian itu mendapati 91% pendandan rambut tidak setuju salon rambut beroperasi semula.
Semalam, menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan kelonggaran sembilan sektor termasuk perkhidmatan gunting rambut untuk beroperasi, dengan syarat mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bermula Isnin ini.
Kelonggaran diberikan ketika tempoh PKP dilanjutkan untuk 14 hari lagi sehingga 28 April, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semalam.
Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata PKP pada fasa ketiga sepatutnya diperketatkan, dan bukan dilonggarkan.
Beliau ditanya mengenai kebimbangan umum berhubung pengumuman kerajaan untuk membenarkan perkhidmatan seperti gunting rambut beroperasi sewaktu PKP peringkat ketiga.
Persatuan Pendandan Rambut Malaysia berpendapat mustahil untuk orang ramai mengekal jarak satu meter, seperti saranan Kementerian Kesihatan, semasa menggunting rambut.
“Pelanggan dan pendandan rambut berada pada kedudukan mudah dijangkiti virus,” katanya.
Oleh itu, persatuan berpandangan membenarkan perkhidmatan gunting rambut beroperasi semula sekarang akan meningkatkan kemungkinan jangkitan.
Ia juga akan menyusahkan pihak polis untuk menjaga keselamatan dan kawalan pergerakan sekiranya semua orang memberi alasan keluar untuk menggunting rambut, tambahnya.
Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan akan meneliti semua pandangan rakyat mengenai langkah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi
“Saya percaya dan dimaklumkan MITI akan teliti semua pandangan ini,” kata Ismail dalam sidang media hariannya awal petang tadi. – 11 April, 2020.
Komen