Tutup saja dulu kedai gunting, kata ahli parlimen, persatuan


Persatuan tukang gunting juga tidak setuju dengan kelonggaran untuk beroperasi yang diberikan oleh kerajaan bermula minggu depan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 April, 2020.

KEDAI gunting rambut tidak patut dibenarkan beroperasi selagi perintah kawalan pergerakan masih berjalan, bimbang ia akan jadi satu lagi punca merebaknya Covid-19, kata Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

Kebimbangan sama disuarakan oleh persatuan tukang gunting rambut di Lembah Klang yang hairan dengan keputusan kerajaan membenarkan kedai gunting beroperasi semula mulai minggu depan.

Akmal, yang juga Ketua Pemuda PKR, berkata pengorbanan mereka yang bertugas di barisan hadapan dan seluruh rakyat Malaysia yang berkurung sejak 18 Mac lalu tidak patut sia-sia.

“Kita sedang berhadapan dengan Covid-19 dan jangan sia-siakan pengorbanan frontliners kita di hospital.

“Juga pengorbanan kita semua kekal di rumah, sampai ada mereka hilang mata pencarian dan ekonomi keluarga semakin susah,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Semalam, menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan beberapa sektor yang diberikan kelonggaran untuk beroperasi, dengan syarat mendapatkan kelulusan daripada kerajaaan bermula Isnin ini.

Kelonggaran diberikan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk 14 hari lagi sehingga 28 April, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semalam.

“Demi kepentingan orang ramai, saya tidak bersetuju dengan arahan menteri membenarkan kedai rambut beroperasi.

“Bolehkah kita berkorban sedikit lagi untuk pertahankan penjarakan sosial?” kata Akmal.

Akmal mengakui pendapatnya mungkin tidak popular dan kerajaan mungkin tidak bersedia untuk ditegur.

“Saya mohon maaf kepada pengusaha kedai gunting kerana mesej ini.

“Namun pandangan saya, eloklah kedai gunting rambut dan perkhidmatan lain yang ada direct contact (kontak langsung) dengan pelanggan ditutup dahulu,” katanya.

Tukang gunting tidak setuju

Sementara itu, Free Malaysia Today memetik sebuah persatuan tukang gunting juga tidak setuju dengan kelonggaran untuk beroperasi yang diberikan oleh kerajaan bermula minggu depan.

Beliau memberikan contoh saranan supaya orang ramai menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain, dan itu tidak mungkin berlaku di kedai gunting rambung.

“Untuk menggunting rambut kita perlu ada kontak dekat dengan pelanggan. Bagaimana kita hendak kekalkan jarak selamat dari mereka?

“Kita tidak tahu siapakah yang dijangkiti virus. Cadangan saya, jangan buka kedai pada masa ini. Masanya tidak sesuai,” kata Pengerusi Persatuan Pendandan Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan, Ganathiban Murugan.

Ganathiban berkata pihaknya sudah menutup kedai sejak 18 Mac dan bersedia menunggu sehingga selepas PKP selesai.

Semalam, Muhyiddin meminta rakyat bersedia untuk dikawal pergerakan mereka bagi suatu tempoh yang lebih lama, sehingga keadaan pulih dan penularan Covid-19 diatasi sepenuhnya.

Setakat semalam, angka mereka yang sembuh dalam sehari sekali lagi lebih tinggi berbanding mereka yang dijangkiti.

Setakat ini, 4,346 kes positif Covid-19 disahkan di seluruh Malaysia dengan 70 kematian. – 11 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen