KEMENTERIAN Kesihatan berhasrat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan lagi untuk tahap ketiga bagi memastikan negara menang perang ke atas Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Pada masa sama beliau menolak saranan agar perkhidmatan seperti kedai gunting rambut dibenarkan untuk dibuka dan supaya pelajar dibenarkan pulang beramai-ramai ke kampung halaman.
Katanya, kawalan sepatutnya diperketat termasuk sempadan, pergerakan, penjarakan sosial dan larangan perhimpunan untuk tempoh PKP tahap ketiga ini.
Jelasnya, ini memandangkan langkah itu menyumbang kepada tanda-tanda kejayaan Malaysia menurunkan jumlah kes jangkitan.
“Jadi kalau kita lihat semula, semua tindakan kita seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga.
“Dari segi perancangan untuk membuka atau mengehadkan pergerakan kementerian kesihatan mengesyorkan kita kekalkan apa tindakan yang telah kita laksanakan pada fasa satu dan fasa dua.
“Mungkin perancangan boleh dijalankan tetapi pelaksanaan ditangguhkan sementara waktu,” katanya.
Beliau ditanya mengenai kebimbangan umum berhubung pengumuman kerajaan untuk membenarkan perkhidmatan seperti gunting rambut beroperasi sewaktu PKP peringkat ketiga.
Ditanya lanjut mengenai rancangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membawa pulang lebih 80,000 pelajar yang masih berada di kampus, Dr Noor Hisham mengulangi pendirian sama.
Katanya kawalan tersebut sepatutnya diperketatkan lagi dengan melihat kejayaan dalam fasa pertama dan kedua.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan akan dapat memberi nasihat lanjut selepas melihat data terkini selepas PKP tahap ketiga berkuatkuasa.
“Nasihat kita, bersabar dalam seminggu dua… Kalau ada data terkini dalam fasa ketiga kita boleh beri nasihat,” katanya lagi.
Kedai gunting rambut merupakan antara sembilan sektor perkhidmatan dan pengilangan yang dibenar beroperasi secara berperingkat bermula PKP fasa ketiga.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Ekonomi Mohamed Azmin Ali dalam satu senarai sembilan sektor yang diberi kelonggaran untuk beroperasi bermula Isnin,
Kelonggaran diberikan ketika tempoh PKP dilanjutkan untuk 14 hari lagi sehingga 28 April, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semalam.
Keputusan membenarkan kedai gunting rambut itu menimbulkan kebimbangan ramai pihak yang khuatir akan mencetuskan kluster baharu jangkitan.
Ini memandangkan kedai gunting rambut biasanya beroperasi dalam ruang kedai yang sempit dan sukar untuk melaksanakan penjarakan sosial.
Tentangan antara lain disuarakan kerajaan Pulau Pinang yang mengumumkan operasi kedai gunting rambut tidak dibenarkan selagi PKP masih berjalan, walau diberi kelonggaran Putrajaya. – 11 April, 2020.
Komen