PEMILIK kedai gunting rambut dan salon dandanan menggesa Putrajaya mengeluarkan garis panduan untuk mereka menyambung semula operasi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir 12 Mei ini.
Ramai antara mereka berkata kedai perlu dibuka semula selepas dua bulan tidak beroperasi susulan PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Naib Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (Mindas) Ganathiban Murugan berkata ini memandangkan angka jangkitan sudah berkurang dan keadaan semakin terkawal.
Apa yang perlu sekarang adalah garis panduan supaya salon dan kedai gunting rambut boleh bersiap sedia untuk berniaga semula, kata Ganathiban.
“Kalau Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) beri kami SOP untuk diikuti, kami boleh bersiap sedia untuk beroperasi semula,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Pada 4 Mei lalu, kerajaan melonggarkan sekatan ke atas majoriti sektor ekonomi kecuali kedai gunting rambut dan salon dandanan rambut.
Bagi syarikat yang dibenarkan beroperasi, mereka mengeluh kerana tidak cukup masa membuat persediaan selain dikenakan syarat memastikan pekerja menjalani ujian saringan Covid-19.
Syarat itu bagaimanapun ditarik semula kecuali bagi pekerja asing.
Peraturan baharu ini menimbulkan isu siapa yang perlu menanggung kos ujian Covid-19 ke atas pekerja.
Pada 10 April lalu, Miti memasukkan kedai gunting rambut dalam senarai perniagaan yang dibenarkan beroperasi semasa fasa keempat PKP. Bagaimanapun, keputusan itu ditarik semual selepas menerima kritikan keras pelbagai pihak.
Malah persatuan tukang gunting rambut juga tidak bersetuju dengan kelonggaran untuk beroperasi kerana bimbang berlaku jangkitan Covid-19 ekoran sukar untuk mengekalkan penjarakan sosial di kedai.
Rayu buka kedai
Namun, memandangkan PKP akan berakhir 12 Mei ini, Ganathiban berkata industri itu tidak dapat lagi menerima jika ia dilanjutkan lagi selepas dua bulan dikuatkuasakan.
“Ahli-ahli Mindas tutup kedai sejak 18 Mac. Dekat dua bulan sejak kami tutup kedai.
“Kewangan kami terjejas dan kami ada banyak kmitmen, sama seperti orang lain. Kami kena bayar sewa, bil dan sara keluarga. Memang susah bila tiada pendapatan.
“Kami juga tak mahu bahayakan keselamatan pelanggan. Jadi kami perlukan SOP supaya pelanggan rasa terjamin,” katanya. – 9 Mei, 2020.
Komen