Ketua bahagian Bersatu Selangor pertikai negeri sokong Muhyiddin


Tiga daripada 22 ketua bahagian Bersatu Selangor mendakwa ia bukan pendirian sepakat parti negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

TIGA daripada 22 ketua bahagian Bersatu Selangor mempersoalkan sokongan yang diumumkan oleh ketua parti negeri kepada presiden Muhyiddin Yassin yang sedang bertelagah dengan Dr Mahathir Mohamad, dengan mendakwa ia bukan pendirian sepakat parti negeri.

Mereka mendakwa pengumuman pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari, yang juga naib presiden parti, bertentangan dengan persetujuan bersama yang dicapai dalam perjumpaan ketua-ketua bahagian Bersatu negeri pada 13 Mei lalu.

“Yang sebenarnya dipersetujui adalah menghormati dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan Dr Mahathir sebagai pengerusi (parti).

“Tiada apa-apa ketentuan berkaitan pemangku pengerusi yang dipersetujui oleh kami, apatah lagi tindakan memecat dicadang, dibahas, mahupun dipersetujui,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka juga bertegas tidak mahu sebarang usaha dibuat untuk memecat Dr Mahathir ataupun timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir.

“Dengan itu, kami tidak sependapat dengan kenyataan akhbar Bersatu Selangor tersebut,” kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh tiga ketua bahagian iaitu Mohd Shaid Roslin (Kuala Selangor), Syed Abdillah Syed Abd Aziz (Klang), dan Mohd Sufian Mat Junus (Bangi).

Shaid adalah juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, seorang daripada empat Adun Bersatu Selangor yang mendukung kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu.

Semalam, Abdul Rashid dalam satu kenyataan media menyuarakan sokongan Bersatu Selangor kepada Muhyiddin, memperakui peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti dan mencadangkan tindakan pecat ke atas Mukhriz kerana bersama dengan pembangkang.

Bersatu kini berpecah dua, antara yang menyokong Muhyiddin dan Dr Mahathir, susulan pendirian parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS, serta dukungan parti-parti lain dari komponen Barisan Nasional (BN) serta dari Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir membantah keputusan langkah politik Muhyiddin, dengan menyifatkannya tidak mendapat mandat pimpinan tinggi parti.

Semalam, 27 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan ketua parti negeri menegaskan tindakan Bersatu keluar dari PH dan membentuk gabungan politik baharu telah diputuskan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari – sehari sebelum Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan pengerusi parti.

Sementara itu, tiga ketua bahagian Bersatu di Selangor berharap kemelut pimpinan atasan tidak menjadi masalah kepada Bersatu di negeri dan diselesaikan secara rundingan.

Awal hari ini, Dr Mahathir melalui peguamnya membantah kenyataan pendaftar pertubuhan semalam yang mengesahkan beliau bukan lagi pengerusi Bersatu sebaliknya jawatan itu dipangku oleh presiden parti Muhyiddin Yassin.

Beliau juga meminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyiasat dan menyelesaikan isu status jawatan pengerusi Bersatu, mengikut kuasanya di bawah Akta Pertubuhan 1966, sekiranya itulah pandangan agensi tersebut mengenai status jawatan itu. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen