DR Mahathir Mohamad membantah kenyataan pendaftar pertubuhan yang mengesahkan beliau bukan lagi pengerusi Bersatu sebaliknya jawatan itu dipangku oleh presiden parti Muhyiddin Yassin.
Dalam sepucuk surat kepada agensi itu melalui peguamnya, Dr Mahathir turut meminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyiasat dan menyelesaikan isu status jawatan pengerusi Bersatu, mengikut kuasanya di bawah Akta Pertubuhan 1966, sekiranya itulah pandangan agensi tersebut mengenai status jawatan itu.
Peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla berkata, kenyataan RoS itu adalah pandangan sebelah pihak, yang tidak juga mengambil kira perkembangan dalam Bersatu selepas peletakan jawatan Dr Mahathir ditolak oleh pimpinan kanan parti.
“Kedudukan anak guam kami (Dr Mahathir) masih kekal sebagai pengerusi Bersatu,” kata Haniff dalam suratnya yang diserahkan kepada RoS, hari ini.
Salinan surat itu turut diserahkan kepada semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, termasuk presiden dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir di pejabat Bersatu.
Peletakan jawatan ditolak
Dr Mahathir letak jawatan pengerusi Bersatu pada 24 Februari tetapi ditolak oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang bermesyuarat pada malam yang sama.
Tiga hari kemudian, setelah menimbang permintaan MPT Bersatu, Dr Mahathir setuju untuk kembali sebagai pengerusi parti.
Bagaimanapun kedudukan itu jadi pertikaian sejak 28 Februari apabila Muhyiddin mendakwa beliau memangku jawatan itu. Muhyiddin membuat pengumuman itu setelah beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).
Semalam, RoS mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu adalah sah dan tindakan Muhyiddin memangku jawatan juga sah, mengikut perlembagaan Bersatu.
Merujuk Perlembagaan Bersatu, RoS berkata Muhyiddin memangku jawatan pengerusi parti sehingga parti mengadakan pemilihan pengerusi yang baharu.
Bersatu sedang menangguhkan pemilihannya susulan pelbagai sekatan kerajaan dalam membendung penularan Covid-19.
Dr Mahathir bagaimanapun setakat ini terpilih semula memegang jawatan pengerusi selepas parti tidak menerima pencalonan lain pada hari penamaan calon pada 16 Mac lalu.
“Muhyiddin pun tidak anggap dirinya pengerusi”.
Dalam surat lima halaman kepada RoS, Dr Mahathir melalui peguamnya mengakui telah letak jawatan pengerusi Bersatu dan maklum juga bahawa perlembagaan parti tidak menyatakan peletakan jawatan itu boleh dibatalkan atau ditarik balik.
“Walau bagaimanapun tidak ada juga mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang menyatakan peletakan jawatan melalui surat adalah peletakan jawatan muktamad,” tulis Haniff dalam surat itu.
Haniff juga berkata Muhyiddin sendiri pun tidak pernah menganggap dirinya sebagai pengerusi, selain satu kenyataan media pada 28 Februari, selepas beliau dinamakan calon perdana menteri PN.
Beliau memberikan tiga contoh bagaimana Muhyiddin katanya masih merujuk Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu, antaranya surat makluman pemecatan Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung parti dan cadangan untuk digantikan oleh Hamzah Zainuddin.
Muhyiddin juga masih merujuk dirinya sebagai presiden Bersatu dalam kenyataan bersama memorandum persefahaman penubuhan PN, yang diumumkan pada Ahad lalu, tambah Haniff.
Dalam pada itu, Dr Mahathir melalui surat peguamnya turut meminta RoS menyiasat dan memutuskan pemecatan Marzuki dan pelantikan Hamzah sebagai setiausaha agung Bersatu, yang dibuat berunding dengan beliau sebagai pengerusi parti, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.
Haniff memberitahu RoS, pihaknya menunggu balasan daripada agensi itu dalam masa tujuh hari. – 20 Mei, 2020.
Komen