PUTRAJAYA perlu bertindak sebagai pemudahcara dalam isu Jawi serta wajar mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media sebelum berbincang dengan pihak berkepentingan, kata ahli akademik.
Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata sebagai kerajaan, Putrajaya perlu mengambil kira suara rakyat walaupun mereka daripada golongan minoriti.
Beliau mengingatkan ahli Parlimen bahawa aktiviti kokurikulum sekolah merupakan milik rakyat dan disebabkan itu, mereka berhak untuk membantah jika tidak gembira dengan sebarang keputusan yang dibuat kerajaan.
“Kita tidak boleh melihat diri kita sebagai rakyat tetapi melihat diri kita sebagai sebuah keluarga.
“Kita mempunyai 38 kumpulan etnik di Malaysia dan setiap satunya adalah keluarga kecil kita.
“Putrajaya perlu menjadi pemudahcara dalam isu ini. Kementerian (Pendidikan) boleh menyiarkan kenyataan kepada media dengan menjemput NGO bagi membincangkan isu ini dengan lebih lanjut.
“Ahli Parlimen perlu sedar bahawa kita mengundi mereka supaya berkhidmat untuk rakyat.
“Kokurikulum sekolah adalah milik rakyat dan mereka berhak untuk membantah mengikut amalan demokrasi,” kata pakar akademik dari Universiti UCSI.

Beliau antara pakar akademik yang dijemput hadir ke Kongres Jawi anjuran SENI Khat Action Team (Sekat) di Petaling Jaya hari ini bagi membincangkan isu pelaksanaan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.
Sementara itu, Bobby William dari Dayak Rakyat Action Force (Draf) berkata tiada rundingan yang dijalankan antara kementerian dan rakyat Sabah serta Sarawak berhubung isu Jawi.
Beliau mengakui ramai rakyat Sabah dan Sarawak kurang senang dengan penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai salah satu pembuat keputusan bagi silibus Bahasa Malaysia.
“Kita kurang jelas dalam isu ini. Tiada penjelasan diberikan kepada kita daripada Kerajaan Persekutuan. Kami di Sabah dan Sarawak berasa dipinggirkan.”
“Kita ragu-ragu dengan Jakim yang terlibat dalam membuat draf bagi silibus pelajaran itu.
“Isu ini membangkitkan kebimbangan kerana tiada pertemuan dengan pihak berkepentingan. Hanya satu atau dua kumpulan di semenanjung yang terlibat,” kata Bobby. – 29 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen