SENI Khat Action Team (Sekat) mempertimbangkan untuk membawa isu Jawi ke mahkamah sekiranya persetujuan gagal dicapai antara pihaknya dengan kerajaan.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Arun Doraisamy berkata, tindakan mahkamah akan menjadi langkah terakhir sekiranya tiada konsensus dicapai selepas sesi dialog.
“Kami mahu adakan pertemuan. Kami mahu sesi dialog dengan semua pihak berkepentingan dengan Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak. Hanya itu caranya jika kita mahu penyelesaian dalam isu ini.”
“Dalam resolusi, kami mahu subjek ini ditangguhkan sehingga perbincangan diadakan. Kami mahu cari titik persamaam namun sekiranya gagal, kita terpaksa bawa perkara ini ke mahkamah kerana ini ialah isu nasional,” katanya.
Kongres hari ini diadakan di hotel Crystal Crown di Petaling Jaya yang dihadiri kira-kira 1,100 orang termasuk sekumpulan individu Melayu yang mahu Jawi diajar disekolah.
Kumpulan Melayu berkenaan diketuai oleh pelakon Ellie Suriati Ibrahim.
Pada mulanya kumpulan berkenaan tidak dibenarkan masuk ke dewan namun dibenarkan semula selepas berbincang dengan Arun.
Arun dan Ellie dilihat berjabat tangan ketika kumpulan berkenaan diiring ke dewan.
Arun kemudian berkata, sebarang perbezaan pendaoat boleh diselesaikan dengan lebih bertamadun.
Tambahnya, beliau sedia untuk menghadiri sebarang perbincangan dengan kumpulan Melayu berhubung isu Jawi.
“Ia menunjukkan apa sahaja perbezaan antara kita, ia boleh diselesaikan. Hari ini telah membuktikannya. Mereka ada di sini dan kita jemput mereka masuk kerana kita tiada motif lain.”
“Saya rakyat Malaysia, mereka juga rakyat Malaysia. Kita berbeza pandangan tetapi kita sentiasa boleh berunding dan berbincang. Saya sedia hadir pada mana-mana kongres mereka dan saya boleh jelaskan kepada mereka apa yang kita mahukan,” kata Arun.
Polis dari IPD Petaling Jaya turut memantau perjalanan kongres yang berakhir dengan aman selepas tiga jam itu.
Semalam, kongres sama yang sepatutnya diadakan di Kajang dibatalkan selepas pihak polis mendaoatkan kebenaran mahkamah untuk menghentikannya, atas dasar kongres yang dianjurkan kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong boleh mencetuskan ketegangan kaum.– 29 Disember, 2019.
Komen